Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kalau pemimpin Umno berani, pergilah menghadap Seri Paduka’
Diterbitkan:  Jun 8, 2022 2:04 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz berpendirian bahawa adalah tidak sopan bagi mana-mana pemimpin Umno untuk terus menekan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya awal.

Bercakap kepada Sinar Harian, Nazri berkata keputusan untuk membubarkan Dewan Rakyat terletak pada Yang di-Pertuan Agong. Justeru, katanya, desakan supaya pilihan raya umum segera diadakan adalah tidak wajar kerana ia menyentuh kuasa Baginda.

“Sepanjang pengalaman saya menjadi menteri selama lebih 10 tahun, perdana menteri yang lepas tidak pernah membincangkan tarikh pelaksanaan PRU dalam kabinet. Ini kerana mereka menghormati bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

"Namun baru-baru ini, buat pertama kalinya isu ini dibincangkan secara terbuka oleh kepimpinan Umno.

"Pandangan saya mudah, kalau pucuk kepimpinan Umno hendak sangat PRU segera, pergilah menghadap Seri Paduka. Hasil keputusan daripada pertemuan itu kemudiannya maklumkan sahaja kepada perdana menteri...Kalau mereka beranilah," kata Nazri.

Susulan kejayaan BN pada pilihan raya negeri Johor pada Mac lalu, beberapa pemimpin Umno menggesa Ismail Sabri supaya menyegerakan pilihan raya umum bagi menyaingi momentum BN sekarang.

Penggal Parlimen semasa tamat pada 16 Julai 2023.

Semasa konvensyen BN ke-48 pada 1 Jun lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri menggesa ribuan yang hadir di Dewan Merdeka di PWTC, Kuala Lumpur supaya bangkit menunjukkan sokongan terhadap pilihan raya awal.

Selain Nazri, tokoh kanan Umno lain yang tidak bersetuju pilihan raya umum segera diadakan adalah Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin.

Annuar mempersoalkan jika BN sudah benar-benar bersedia untuk pilihan raya di peringkat nasional manakala Khairy berhujah bahawa BN akan melakukan lebih baik dalam pilihan raya apabila situasi pandemik Covid-19 semakin reda dan ekonomi semakin pulih.

Lihat Komen
ADS