Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jika Azeez berani tegur pemimpin, BN masih kerajaan, kata Saifuddin

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen Umno-BN hari ini menggelar Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) sebagai 'bapa loncat' kerana tindakannya menyertai beberapa parti.

Menurut Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling), dalam keadaan begitu juga Pakatan Harapan (PH) tidak menegur tindak-tanduk Mahathir selepas tokoh terbabit didakwanya mengkhianati rakyat apabila kerajaan dipimpinnya tumbang pada 2020.

Membahaskan rang undang-undang (RUU) bagi mengekang amalan melompat parti, Abdul Azeez berkata selepas meninggalkan Umno, Mahathir menubuhkan Bersatu, sebelum menyertai Pejuang.

“Tak pernah sekali (PH) berani tegur Langkawi (Mahathir) di dalam dewan ini kerana kesilapannya mengkhianati rakyat.

This will come and go (Ini akan terus berlaku lagi). Ini berlaku kerana siapa? Kerana Langkawi seorang,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan itu dibidas ahli parlimen PH, termasuk Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang meminta supaya Abdul Azeez memeriksa terlebih dulu fakta yang disebutnya itu.

Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baru) kemudian mencelah dan membidas sinis Abdul Azeez.

Abdul Azeez Abdul Rahim

Kata Saifuddin, dia memang gemar berhujah dengan Abdul Azeez yang mendakwa 'berani' menegur pemimpin.

Kata setiausaha agung PKR itu kerana 'keberanian' bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji itulah juga majoriti rakyat menolak BN dan memberikan mandat kepada PH untuk menjadi kerajaan pada 2018.

“Kalaulah kekuatan dan keikhlasan Baling menegur Pekan (Najib Razak) waktu itu, percayalah, BN masih kekal jadi kerajaan,” kata Saifuddin.

Menjelaskan dakwaan Abdul Azeez lagi, Saifuddin berkata banyak perkara yang tidak dipersetujui pimpinan parti komponen PH dengan Mahathir ketika mereka masih bersama dalam gabungan berkenaan.

“Banyak perkara saya tak setuju… banyak kami tegur dalam mesyuarat PH. Itu Baling tak perlu tahu kerana tak duduk dalam 'kelambu' kami,” tegasnya.

Saifuddin kemudian menyentuh isu mengambil alih kerajaan selepas PRU ke-14, apabila mandat rakyat dinafikan sekumpulan ahli parlimen dengan insiden Langkah Sheraton.

“Lepas 22 bulan, berlaku manipulasi, gerakan. Kami terus pertahankan dokumen yang merupakan konsensus dan memang ada perbuatan untuk elak daripada perkara itu berjalan.

“Tapi apabila ada kalangan kita (ahli parlimen PH) pilih untuk keluar - istilah yang sopan, keluar (tapi) istilah ramai guna ialah khianat mandat rakyat - ada kesan baik dari perbuatan itu? Tidak,” katanya.

Lihat Komen
ADS