Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU15 lebih sesuai diadakan tahun depan
Diterbitkan:  Sep 2, 2022 1:31 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah berpandangan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lebih sesuai diadakan tahun depan.

Dia berkata, banyak faktor perlu diambil kira jika PRU15 tetap mahu diadakan tahun ini.

"Kalau tanya kami secara keseluruhannya, lebih sesuai kita jangka habiskan tempoh yang sedia ada, yakni sampai tahun depan.

"Ini dah hujung tahun dan kita bimbang banjir, selain itu kebanyakan orang yang berniaga, mereka baru mula (berniaga) selepas Covid-19, jadi kalau ada pilihan raya dalam suasana sekarang sedikit sebanyak mengganggu (perniagaan) mereka.

"(Dan) setakat yang saya tahu, teman-teman ahli Parlimen dan parti politik, majoritinya lebih cenderung supaya pilihan raya diadakan pada tahun depan," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Saifuddin bagaimanapun menegaskan keputusan untuk membubarkan Parlimen dan menentukan tarikh PRU15 terpulang kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno

Namun, pada 29 Ogos lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam satu majlis di Kuantan, berkata PRU15 akan diadakan tahun ini memandangkan Ismail Sabri sudah memberi komitmen tidak akan melaksanakannya tahun depan.

Mohamad berkata, cuma perdana menteri tidak boleh memaklumkan bila tarikh pilihan raya akan diadakan.

"Pilihan raya umum sudah tidak lama, perdana menteri sudah bagi komitmennya, tapi dia tak boleh bagi tarikh... takkan dia hendak bagi tarikh sehingga dia terpaksa kata takkan saya hendak bawa tahun depan.

“Jadi, jelas sangatlah, jelas pilihan raya tahun ini. Kalau pilihan raya umum tahun ini takkan hendak buat bulan 12, nanti orang berenang pula pergi mengundi. Bulan 12 di Pahang bukan calang-calang banjir.

“Jadi, itu jangka masa yang kita perlu perhatikan betul-betul, gerak kerja kita, kita buat sebelum bulan 12,” katanya.

Gambar Hiasan - Perikatan Nasional

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan Perikatan Nasional (PN) Pahang, Saifuddin yang juga pengerusi PN negeri memberitahu, keputusan melantik ketua badan perhubungan kawasan bagi 14 Parlimen di Pahang sudah selesai.

"Semalam kami bermesyuarat di Kerdau dan pelantikan itu sudah selesai, cuma tunggu watikah pelantikan ditandatangani Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin pada 7 September ini.

"Daripada 14 kawasan itu, tujuh diketuai PAS, enam diketuai Bersatu dan satu lagi kawasan diketuai Gerakan.

"Kita (PN Pahang) akan selesaikan pengagihan kerusi sebelum 15 September ini kerana pada 16 September, ada mesyuarat pimpinan tertinggi PN," katanya lagi.

Dia memaklumkan pembahagian kerusi di Pahang itu hanya membabitkan parti komponen dalam gabungan PN, namun pihaknya belum menutup pintu sepenuhnya untuk mengadakan perbincangan dengan pihak lain.

"Kerana yang penting pada kita ialah ada gabungan parti yang kuat, apa-apa pun keputusan tentulah akan dibuat majlis tertinggi Perikatan Nasional.

"Macam Pas dengan UMNO di Pahang sebelum ini ada persefahaman dlm Muafakat Nasional, kita (Bersatu) kata teruskanlah, sebab di Pahang kita tidak bergaduh dengan mana-mana parti.

"Sebab itulah saya kata PN Pahang masih terbuka menerima kerjasama dgn mana-mana pihak," katanya.

Lihat Komen
ADS