Berita Malaysiakini

MCA putuskan calon Machap esok

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mesyuarat Majlis Presiden MCA esok akan memutuskan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN Machap, kata Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Senarai beberapa nama calon untuk bertanding kerusi itu, katanya, sudah diterima dan mesyuarat di ibu pejabat MCA esok akan memilih calon paling layak.

Nama calon itu kemudiannya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi BN, untuk mendapat persetujuan, kata Ong, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurut laporan Bernama, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil Machap pada 3 April dan hari mengundi pada 12 April depan.

"MCA sudah bersiap sedia, kami akan pastikan calon yang memenuhi kehendak pengundi dan paling sesuai dengan keadaan di situ dipilih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Pendidikan terbitan Andaman Publications Sdn Bhd di Subang Jaya hari ini.

Pilihanraya kecil DUN Machap diadakan berikutan kematian Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, dari BN, pada 15 Mac lalu akibat sakit buah pinggang.

Dalam pilihanraya umum 2004, Poh, yang juga Pengerusi MCA Melaka, menewaskan calon DAP Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,562 undi.