Jangan banding Pak Lah dengan Dr M, kata Muhyiddin

   

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, generasi muda tidak seharusnya memandang rendah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana beliau masih baru memegang tampuk pemerintahan negara.

"Apa yang penting apabila Datuk Seri Abdullah ambil alih pentadbiran, beliau tidak bunuh dasar-dasar yang dibuat oleh Tun, sebaliknya beliau sambung apa yang dimulakan Tun," katanya dalam sesi dialog dengan kira-kira 20 pemimpin Kelab Umno New Zealand dan Australia di Formosa Auckland Country Club, di New Zealand.

Oleh itu, beliau meminta pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak membandingkan corak kepimpinan Abdullah dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, ini kedua-dua pemimpin itu mempunyai cara kepimpinan masing-masing dalam menerajui negara, demikian menurut laporan Bernama.

"Perkara ini (membuat perbandingan) memanglah tidak dapat dielakkan sebab kebanyakan daripada anda, generasi muda ini sudah biasa dan hanya kenal cara kepimpinan Tun Dr Mahathir sahaja, jadi bila ada pemimpin baru, akan ada yang buat perbandingan.

"Zaman Tun dulu pun banyak hadapi cabaran, ada juga pihak yang tidak yakin dengan kepimpinan beliau," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ekonomi negara

Beliau berkata, rakyat Malaysia amat bertuah kerana kini keadaan ekonomi negara sudah bertambah baik walaupun ada pihak yang kurang yakin dengan kebolehan Abdullah membuat perancangan ekonomi negara dan memberi gambaran kononnya ekonomi negara semakin menguncup.

Seperti pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir, pelbagai projek besar dilaksanakan dan agensi-agensi kerajaan diberikan peruntukan besar untuk berbelanja bagi menggalakkan ekonomi negara sebagai langkah untuk mengatasi ekonomi negara yang merundum akibat tindakan penyagak matawang.

"Bila Perdana Menteri ambil alih, beliau terpaksa `evaluate' semula keadaan itu untuk uruskan `defisit' kita ke tahap yang boleh diterima. Itu membuatkan ada pihak yang rasa ekonomi teruk sebab tak dapat projek besar... tapi itu sebenarnya ada rasionalnya," katanya.

Muhyiddin berkata, tindakan itu mengukuhkan lagi ekonomi negara apabila pada tahun lalu ekonomi meningkat sehingga 5.9 peratus dan tahun ini dijangka dapat mencapai sehingga enam peratus.

Menurutnya, kadar inflasi juga menurun sehingga ke tahap 3.1 peratus manakala harga komoditi melonjak naik.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In