Ahli Parlimen PKR, Wong Chen menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji wakil rakyat dengan alasan langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan tugas berjalan lebih cekap dan berkesan.
Bercakap ketika majlis pelancaran buku di ibu negara hari ini, Wong yang juga wakil rakyat kerajaan berkata gaji ahli parlimen pada masa ini dianggap terlalu rendah, memandangkan mereka bukan sahaja perlu menyara keluarga, tetapi juga pegawai dan kakitangan di pejabat mereka.
"Mereka fikir kita hanya jaga anak dan pasangan? Sebenarnya kita juga kena tanggung semua orang di pejabat kita.
"Kerja politik ini luar biasa. Selagi belum jadi ahli politik, orang tidak akan faham berapa banyak kos yang terlibat... banyak elaun itu bukan gaji," katanya.
Sementara itu, Wong turut mencadangkan pendekatan memberi 'carrot and stick' (ganjaran dan hukuman) dalam menggubal dasar untuk memastikan integriti serta keberkesanan pelaksanaan tugas ahli parlimen.
