Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 2:20pm PAS mendakwa 190 buah bas dan 2,000 kereta yang membawa "pengundi hantu" telah dan sedang menuju ke Terengganu dan Kelantan untuk memastikan kemenangan BN.

"Ini angka yang dapat dikesan (oleh PAS), mungkin lebih ramai lagi," kata pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Beliau mendakwa, projek membawa masuk pengundi-pengundi ini dijalankan oleh sebuah syarikat agensi pelancongan yang mendapat kontrak daripada sebuah yayasan milik kerajaan negeri itu.

Dalam sidang medianya pagi tadi, Mustafa mendakwa lagi, sebahagian besar mereka yang menaiki bas itu pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, termasuk pelajar dari luar negara.

Terdapat juga pekerja asal Indonesia dan Burma di atas bas-bas terbabit, katanya lagi.

Menurut Mustafa, mereka sekarang ditempatkan di sekolah, chalet dan resort, selain pusat tahanan imigresen di Ajil, Hulu Terengganu.

Menurut tafsirannya, "pengundi hantu" itu terbahagi dua kategori: pekerja asing termasuk Indonesia yang bekerja dengan syarikat-syarikat di luar Terengganu, dan rakyat Malaysia yang tidak pernah tinggal di Terengganu tetapi mendaftar untuk membuang undi di negeri ini.

Beliau menggesa petugas-petugas parti itu menahan seseorang yang disyaki sebagai pengundi hantu di pusat-pusat mengundi esok.

Agen tempat mengundi, kata Mustafa, terdiri penduduk tempatan yang menyokong PAS dan mereka boleh mengenali wajah orang-orang luar yang cuba membuang undi.

"Jika mereka rasa was-was, mereka boleh minta pengundi tersebut isi borang untuk mengenal pasti identiti sebenar pengundi," katanya.

Sambil menegaskan beliau mempunyai bukti atas dakwaan-dakwaan ini, Mustafa berkata beliau dimaklumkan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh telah mengadakan taklimat kepada pemimpin Umno tiga hari lalu.

Dalam taklimat tersebut, dakwa pemimpin PAS itu lagi, Idris yang juga pengerusi BN negeri berkata mereka mempunyai cara untuk menang, termasuk menggunakan pengundi hantu dan kad pengenalan palsu.

Mustafa, yang juga pengarah pilihanraya pusat PAS, berkata daftar pemilih di Selangor yang dikeluarkan untuk hari pengundian berbeza dengan daftar awal yang diedarkan sejak hari penamaan calon.

Katanya, pada pilihanraya 2004 kejadian seumpama itu pernah berlaku di Selangor sehingga perkara itu dibawa ke mahkamah.

Sidang media itu yang diadakan di pejabat perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu selepas tersebar berita sembilan bas telah ditahan awal pagi ini oleh penyokong-penyokong sebuah parti politik kerana disyaki membawa pengundi luar.

Mustafa juga menyatakan PAS menjangka dapat memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN di negeri itu.

ADS