Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN hilang kepercayaan rakyat...
Diterbitkan:  Mar 10, 2008 5:32 AM
Dikemaskini: 5:22 PM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak langsung mengakui bahawa kerajaan BN telah kehilangan kepercayaan rakyat.

Tanpa menyebut secara langsung seperti itu, kenyataannya antara lain berbunyi: "Kita (BN) akan terus berusaha untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat".

najib tun razak Dalam kenyataan lima perenggan hari ini, Najib yang juga timbalan presiden Umno, minta ahli-ahli parti itu untuk merapatkan barisan dalam menghadapi cabaran akibat ketewasan besar dan di luar jangka Sabtu lalu.

"Sebagai timbalan presiden, saya akan membantu YAB presiden untuk menghadapi cabaran besar ini," tambahnya.

Najib mengeluarkan kenyataan tersebut hari ini di tengah-tengah desakan supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno, meletakkan jawatan, ekoran kekalahan teruk BN.

Parti pemerintah itu juga kehilangan lima negeri termasuk Pulau Pinang - di mana Abdullah merupakan pengerusi Umno negeri tersebut - kepada pembangkang.

BN juga, buat pertama kali dalam sejarah, gagal mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila hanya memenangi 140 daripada 222 kerusi parlimen.

Umno pula kehilangan 31 kerusi parlimen dan hanya mempertahankan 78 kerusi berbanding 109 kerusi parlimen yang dimenangi pada 2004.

Pilihan rakyat

Selain Umno, MCA hanya mampu mempertahankan 15 kerusi parlimen, MIC (3) dan Gerakan (2).

Pembangkang pula berjaya merampas 82 kerusi parlimen - PKR 31, DAP 28 dan PAS 23.

Selain gagal dalam projek merampas Kelantan, Umno juga kehilangan Kedah, Perak dan Selangor kepada barisan pembangkang yang berjaya menubuhkan kerajaan di negeri-negeri berkenaan.

PAS malah berjaya mengekalkan Kelantan dengan jumlah kerusi yang besar, 39 daripada 45, berbanding hanya 23 kerusi penggal lepas.

Mengulas mengenai keputusan pilihanraya umum itu, Najib melalui kenyataan ringkas itu bekata, ia berjalan dengan selamat dan telus selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

"Rakyat Malaysia menyatakan suara dan pilihan mereka dan kita berasa syukur kerana Barisan Nasional (BN) terus diberi kepercayaan untuk memerintah negara.

"Walaupun BN agak kecewa dengan kegagalan untuk kembali berkuasa di lima negeri serta kegagalan mendapat majoriti dua pertiga (di Dewan Rakyat), kita menerima dengan hati penuh terbuka keputusan rakyat," tambahnya.