Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bebaskan Mano untuk angkat sumpah
Diterbitkan:  Mar 31, 2008 7:15 PM
Dikemaskini: 11:47 AM

DAP Selangor menggesa supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan dibebaskan dari tahanan ISA untuk menghadiri upacara mengangkat sumpah wakil rakyat Selangor.

Setiausahanya, Lau Weng San berkata, menurut notis rasmi dari urusetia Dewan Undangan Negeri (DUN), majlis angkat sumpah kesemua 56 Adun Selangor akan diadakan pada 8 April depan.

Dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu, Manoharan yang bertanding atas tiket DAP menang dengan majoriti 7,184 undi.

bm lima tahanan hindraf Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Manohan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu bawah ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Pilihan rakyat

Dalam satu kenyataan hari ini, Lau menggesa kerajaan pusat supaya membebaskan Manoharan supaya beliau dapat menghadiri majlis angkat sumpah tersebut.

"Penahanan berterusan Manoharan di bawah ISA tidak lagi dapat diterima oleh rakyat kerana pengundi di Kota Alam Shah telah memberi mesej yang jelas kepada kerajaan pusat bahawa mereka mahu Manoharan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri, dengan majoriti 7,184 undi," katanya.

Oleh itu, katanya, kerajaan pusat mesti membebaskan Manoharan supaya beliau dapat menjalankan tanggungjawabnya secara berkesan sebagai wakil rakyat Kota Alam Shah.

Malah, katanya, kerajaan pusat juga sepatutnya turut membebaskan empat pemimpin Hindraf yang lain.

"Niat mereka sebagai pemimpin Hindraf hanyalah untuk bersuara bagi pihak masyarakat India yang terpinggir di Malaysia dan tidak sepatutnya dianggap sebagai mengancam keselamatan negara," tegas Lau lagi.

ADS