Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pelajar Universiti Malaya disiasat polis berhubung pembabitannya ketika kempen pilihanraya umum lalu di Rembau.

Azlan Zainal, presiden penaja Parti Mahasiswa Negara (PMN), memberitahu Malaysiakini , seorang pegawai polis berpangkat asisten supritenden datang bertemunya di kampus universiti itu minggu lalu.

Pegawai polis daripada ibu pejabat polis Negeri Sembilan ingin mendapatkan maklumat peribadinya dan juga penjelasan lanjut berhubung kenyataan akhbarnya di Dataran Senawang pada 2 Mac lalu.

Menurut Azlan, pertemuan pegawai itu dengan beliau memakan masa dua jam pada Isnin lepas di pejabat ijazah dasar, Akademi Pengajian Islam - tempat beliau menuntut dalam jurusan bioteknologi dan agama di peringkat semester terakhir.

PMN, dalam kenyataan bulan lalu, menyatakan kesediaannya untuk bertemu dua calon generasi muda yang bersaing merebut kerusi parlimen Rembau - Khairy Jamaluddin yang mewakili BN dan Badrul Hisham Shaharin (PKR).

Kerusi itu dimenangi Khairy, yang juga naib ketua Pemuda Umno, pada 8 Mac.

Kenyataan itu mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mendakwa perdana menteri "memperalatkan mahasiswa untuk membantu kempen dan memperalatkan mereka untuk menyokong BN" seperti satu program di Putrajaya pada 1 Mac.

Parti itu cuba meletakkan calon di Kepala Batas untuk mencabar Abdullah.

Bagaimanapun, menurut parti yang baru memohon pendaftaran awal tahun ini, calonnya dihalang oleh polis untuk masuk ke dewan tempat pencalonan.

Azlan berkata polis atau pihak universiti tidak pernah menyiasat atau mengambil tindakan terhadap pembabitannya di Kepala Batas.

Setakat ini juga, katanya lagi, beberapa lagi pemimpin dan aktivis PMN tidak dikenakan sebarang tindakan.

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akan mengambil tindakan tatatertib kepada seorang pelajar tahun akhir berhubung pembabitannya dalam kempen pilihanraya umum ke-12.

Meor Isfandi Meor Azizan, yang dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin universiti itu esok, telah digantung pengajiannya.

Beliau dihalang menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melarangnya mengambil keputusan penuh.

ADS