BERITA

BPR tidak pernah siasat Mahathir

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Apr 2008, 3:44 petang

Pengarah bahagian siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Mohd Shukri Abdul berkata beliau tidak pernah menerima sebarang laporan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sejak mengambil jawatan tersebut pada 2006.

Shukri menyatakan demikian dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Mengenai siasatan terhadap ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, beliau berkata, ia dimulakan pada 1998 dan disiapkan pada 2001.

mohd shukri abdull Shukri berkata, laporan siasatan tersebut telah diserahkan kepada peguam negara ketika itu, yang kemudiannya berpendapat bahawa keterangan saksi tidak konsisten dan tiada bukti sokongan.

Berikutan itu, katanya, peguam negara mengarahkan supaya fail siasatan ditutup.

Berhubung isu keterangan bekas ketua pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya di mahkamah pada 2000 terhadap Dr Mahathir, Shukri berkata ia sedang disiasat oleh pihak polis.

Shukri berkata, BPR tidak terbabit dan beliau meminta supaya perkara itu dirujuk kepada pihak polis.

Tiada campur tangan

"Bagaimanapun, atas inisiatif kami sendiri, kami menghubungi Datuk Shafee Yahaya untuk memberikan lebih banyak maklumat mengenai dakwaan terhadap Dr Mahathir dan beliau memberitahu kami yang beliau telah memberikan kenyataan mengenai perkara itu kepada polis," kata Shukri.

Beliau berkata, sejak beliau menjadi pengarah negeri pada 1996, pengalamannya mendapati tidak berlaku sebarang campur tangan mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam siasatan BPR.

mahathir general generic smile smiling happy 011106 Sementara itu, Bernama melaporkan Shukri memberitahu sidang akhbar tersebut bahawa BPR tidak pernah menyiasat Dr Mahathir atas dakwaan cuba campur tangan dalam siasatannya terhadap pengarah EPU pada 1998.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan bahawa Dr Mahathir telah mengarahkan kes tersebut ditutup disiasat oleh polis dan bukannya oleh BPR, tidak seperti mana laporan media hari ini.

"Ini merupakan dua kes berbeza. Satu ialah mengenai pegawai kanan di UPE yang disiasat oleh kami dan keduanya mengenai Tun Dr Mahathir didakwa mengarahkan kes pertama ditutup.

"Kami hanya menyiasat kes pertama. Dakwaan kedua - iaitu yang dibuat terhadap Tun Dr Mahathir - tidak disiasat oleh BPR tetapi oleh polis pada masa itu," katanya.

Dengan penjelasan itu, Shukri berkata, BPR berharap salah tanggapan bahawa BPR yang menyiasat Dr Mahathir tidak lagi berbangkit.

Kertas siasatan

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa BPR tidak boleh campur tangan dalam penyiasatan polis. Oleh kerana penyiasatan itu dikendalikan oleh polis, Ketua Polis Negara mungkin dapat memberikan penjelasan mengenai perkara ini," katanya.

Mohd Shukri juga berkata sejak dilantik sebagai pengarah siasatan, beliau tidak pernah menerima sebarang arahan daripada perdana menteri supaya tidak meneruskan sebarang penyiasatan BPR terhadap mana-mana kes.

"Biasanya, sebaik sahaja kita buka kertas siasatan, tiada apa yang boleh menghentikan penyiasatan itu. Kertas siasatan perlu diselesaikan dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

"Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) tidak pernah mengarahkan saya menghentikan mana-mana penyiasatan pada bila-bila masa sejak saya menjadi pengarah penyiasatan," katanya semasa menjawab soalan sama ada Perdana Menteri sekarang pernah mengeluarkan arahan sedemikian.

Katanya, penyiasatan BPR adalah berdasarkan fakta dan bukti kerana sebaik sahaja kertas siasatan sampai ke Pejabat Peguam Negara, ini amat penting jika orang itu dituduh rasuah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata bagi suku pertama tahun ini (Januari-Mac), BPR menerima 3,834 maklumat berkaitan rasuah dan daripada jumlah itu, sebanyak 357 kertas siasatan dibuka.

"Kami menahan 145 orang bagi pertuduhan berkaitan. Jumlah sebenar yang disiasat membabitkan RM11.2 juta.

"Dan bagi tempoh yang sama, kami merampas harta benda bernilai RM900,000 dan menyita harta benda bernilai RM700,000 atas perintah mahkamah.

"Kami juga ada permohonan kes rampasan bernilai RM700,000 sedang menunggu perbicaraan di mahkamah," katanya.

Katanya daripada 145 orang yang ditahan oleh BPR, 72 terdiri kakitangan awam, 44 pekerja sektor swasta dan 29 orang awam.

Daripada 72 kakitangan awam itu, 13 ialah pegawai kanan kerajaan.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.