Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Memperkenalkan gred baru minyak - dengan alasan mengurangkan subsidi untuk golongan kaya - hanya satu bentuk "penipuan", kata naib presiden PAS Datuk Husam Musa.

"Pada pendapat saya, ia suatu bentuk 'penipuan', ia bukan menurunkan harga minyak secara yang sebenar, ia hanya menurunkan mutu minyak dan dengan itu mengurangkan kos petroleum tersebut," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini kelmarin.

husam musa bangsar 080408 drinks latte Menurutnya, hanya kenderaan tertentu boleh menggunakan petrol yang bermutu rendah tetapi kebanyakan kenderaan, khususnya model terbaru, menggunakan gred tinggi.

Sedangkan, katanya lagi, cadangan ini bermakna minyak bergred tinggi akan menjadi lebih mahal akibat kurangnya subsidi.

"Kita lihat kenderaan diesel - banyak digunakan oleh kenderaan pengangkutan - yang dikeluarkan di Eropah kini tidak lagi menggunakan diesel bermutu rendah ...

"Thailand telah menggunakan diesel bermutu tinggi, Malaysia masih mengguna diesel mutu rendah, jadi kenderaan yang menggunakan diesel bermutu tinggi tidak boleh lagi dibawa masuk ke Malaysia kerana enjinnya akan rosak jika guna diesel di negara ini.

"Jadi, (kerajaan) kita sekarang sedang mengelabui mata rakyat tentang kedudukan ini.

"Ia sebenar-sebenarnya tidak menolong rakyat Malaysia umumnya, bukan sahaja (tidak menolong) golongan miskin," kata Husam lagi, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan.

Beliau diminta mengulas cadangan menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna Datuk Shahrir Samad untuk memperkenalkan dua gred petrol, RON 95 dan RON 99, bagi manfaat rakyat berpendapatan rendah.

Shahrir berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi yang dipengerusikan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah menimbang cadangan memansuhkan petrol RON 92 dan RON 97.

Ketika ini, petrol jenis RON 92 kebanyakannya digunakan oleh motosikal, manakala kenderaan lain menggunakan RON 97.

Mengikut sistem baru yang dalam kajian, lebih subsidi akan diberi kepada petrol RON 95 yang digunakan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana, manakala petrol RON 99 yang lebih mahal sesuai untuk kenderaan mewah dan pengguna yang mementingkan kuasa pemanduan serta prestasi.

>>> Bahagian satu wawancara: Negara Islam bukan agenda Pakatan

ADS