Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

eksklusif Menteri belia dan sukan Datuk Ismail Sabri Yaakub berkata, masih terlalu awal bagi beliau membuat keputusan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti akhir tahun ini.

"Kalau isytihar sekarang, dalam masa tiga bulan keadaan mungkin berubah. Mengapa hendak tergesa-tergesa dalam perkara yang belum pasti," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya semalam.

ismail sabri yaakob Bagaimanapun, ahli parlimen Bera itu berkata, apabila berada dalam politik, seseorang itu tentu berminat untuk jawatan-jawatan tertentu dalam parti.

"Sehingga ini tidak ada orang datang yang bertanya sama ada saya (akan) bertanding jawatan ketua Pemuda," katanya lagi.

Ismail Sabri sebelum ini pernah dilaporkan sebagai antara calon yang mungkin bertanding jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti pada 16 hingga 20 Disember depan.

Dua lagi calon yang hampir pasti bertanding jawatan tersebut ialah bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir.

Kehendak ahli

Jawatan itu kosong berikutan penyandang Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan.

Menurut Ismail Sabri lagi, pendiriannya dalam membuat keputusan bertanding bukan kerana desakan daripada tiga atau empat orang.

"Bukan kita nak tetapi apa yang ahli nak... bukan kita umumkan, tonjol diri, tetapi atas kehendak ahli," katanya.

Ismail juga mengulas mengenai ciri-ciri yang perlu ada pada ketua Pemuda Umno dan hubungan dirinya dengan menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin yang juga naib ketua Pemuda Umno.

Beliau berkata, ketua Pemuda perlu berani, tegas dan diterima oleh ahli-ahli pergerakan itu.

"Seperti Datuk Harun (Idris) yang berani mempertahankan kepentingan bangsa dan agama Islam," tambahnya.

Desak bila kuat

Ditanya adakah Pemuda Umno perlu menjadi kumpulan pendesak kepada kerajaan seperti yang pernah dilabelkan kepada pergerakan itu sewaktu dipimpin Harun, Ismail Sabri menjawab," bukan sentiasa mendesak."

Beliau berkata, waktu pemimpin kuat, Pemuda Umno boleh mendesak tetapi ketika parti sedang lemah, desakan perlu dibuat dalam keadaan yang berbeza.

"Pemuda Umno perlu kembali kepada akar umbi dan bersama rakyat serta menjadi juara dalam isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka.

"Orang kena nampak perjuangan Pemuda Umno," katanya sambil menambah Pemuda juga perlu mempertahankan kepimpinan dan parti.

Mengenai hubungannya dengan Khairy, Ismail Sabri berkata, beliau rapat dengan menantu perdana menteri itu dan bekas barisan exco-exco Pemuda sewaktu aktif bersama pergerakan tersebut.

Katanya, beliau dan Khairy pernah berada dalam satu bumbung sebagai exco Pemuda semasa Hishammuddin menjadi ketua Pemuda Umno.

Bukan proksi Khairy

"Sampai sekarang hubungan saya dengan Khairy dan exco-exco Pemuda lain rapat. Bekas exco yang lain juga rapat dengan Khairy," katanya lagi.

khairy jamaluddin interview 011107 elaborate Beliau menambah, dakwaan bahawa beliau merupakan proksi Khairy "adalah anggapan semata-mata."

Ismail Sabri menjadi exco Pemuda Umno selama empat tahun dari 2000 hingga 2004 sebelum bertanding di parlimen Bera pada pilihanraya umum ke-11.

Beliau mempertahankan jawatan tersebut dalam pilihanraya umum 8 Mac dan dilantik menjadi menteri belia dan sukan.

Ismail, lulusan undang-undang, dilahirkan pada 18 Januari 1960 di Temerloh, Pahang.

Tiada had umur ditetapkan bagi mereka yang hendak bertanding jawatan ketua Pemuda Umno. Had umur hanya dikenakan bagi jawatan naib ketua dan jawatan-jawatan lain dalam pergerakan tersebut.

Ismail pernah menjadi setiausaha politik menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan Tan Sri Sabaruddin Chik pada 4 ogos 1995.

Sewaktu pertama kali bertanding di parlimen itu, beliau merupakan ketua bahagian Umno Bera.

Ketika bersama pergerakan Pemuda, beliau dilantik pengerusi biro pembelaan dan pembangunan masyarakat.

Beliau juga pernah dilantik sebagai pengerusi biro belia Pemuda Umno di peringkat pusat dan Pahang.

Ismail juga merupakan ahli Majlis Undangan Belia Negara sejak 2000.

ADS