Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 2:30pm Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata terserah kepada Gerakan untuk mengambil tindakan terhadap bekas pemimpin kanannya Datuk Lee Kah Choon yang menerima jawatan utama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan InvestPenang.

"Terpulang kepada parti itu membuat keputusan. Biar BN Pulau Pinang bertindak mengikut keputusan mereka," katanya di sidang media ringkas selepas merasmikan menteri kebudayaan Asia Eropah di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah Lee - bekas timbalan setiausaha agung parti itu - "bertentangan dengan prinsip Barisan Nasional".

Beliau dilaporkan menunggu bentuk keputusan yang akan diambil oleh Gerakan terhadap Lee.

Abdullah juga menjelaskan, projek jambatan kedua Pulau Pinang ditangguhkan pembinaannya kerana berdepan masalah kelulusan tanah, serta penilaian semula reka bentuk dan kenaikan kos.

"Ada beberapa perkara yang telah melewatkan (pembinaannya), satu (faktor), kita nak dapatkan tanah yang bersesuaian untuk pembangunan, untuk pembinaan jambatan yang berkenaan.

"Dan keduanya ada perkara-perkara berkaitan reka bentuk yang perlu dipastikan, supaya sebaik-baik reka bentuk," kata Abdullah.

"Yang keduanya berhubung kait dengan kos yang perlu disemak semula kerana dari segi kos mungkin ada perubahan sebab harga dah naik."

Projek pembinaan jambatan kedua, pada asalnya dijadual menelan RM3 bilion, sepanjang 24km termasuk 17km di atas air dijangka naik susulan kenaikan harga bahan binaan.

Dalam cadangan asal, ia akan dibina merentangi Selat Selatan, menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di bahagian pulau negeri itu.

Kerja-kerja pembinaan jambatan itu telah dimulakan dan dijangka siap pada Januari 2011 jika tiada kelewatan.

Dalam sidang media selama empat minit pagi tadi, perdana menteri juga berkata beberapa projek pembangunan bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan dikaji semula ekoran masalah kenaikan kos.

ADS