Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Umno Pulai bidas timbalan menteri
Diterbitkan:  May 5, 2008 4:55 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini kesal dengan tindakan seorang timbalan menteri yang merasmikan program percambahan minda 2008 di Pulai yang diadakan tanpa restu Umno bahagian berkenaan. .

hamzah zainuddin Datuk Hamzah Zainuddin - timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno - merasmikan majlis tersebut anjuran Majlis Permuafakatan Akar Umbi Umno Pulai, semalam.

Menurut Bernama, Ia dihadiri oleh 15 orang ketua cawangan dan 100 ahli Umno bahagian Pulai.

Katanya, Umno bahagian itu tidak pernah memberi sebarang restu kepada mana-mana ahlinya untuk mengadakan majlis bertujuan membuat resolusi atau mencari penyelesaian untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Majlis berkenaan tidak mendapat restu daripada saya sendiri sebagai ketua bahagian atau jawatankuasa Umno bahagian," katanya yang juga ahli parlimen Pulai.

“Penganjur majlis berkenaan mempunyai niat tersirat dengan cuba mencari populariti kerana pemilihan Umno peringkat bahagian dan cawangan akan berlangsung bermula Julai depan,” katanya.

Ditanya sama ada, penganjuran majlis berkenaan merupakan suatu petanda beliau akan dicabar untuk jawatan ketua bahagian dalam pemilihan Umno akan datang, Nur Jazlan berkata beliau akan mempertahankan jawatan itu.

“Saya dicabar dalam pemilihan Umno bahagian 2004 oleh ahli jawatankuasa Umno bahagian sendiri ketika itu, serta menang.

nur jazlan mohamed "Saya akan mempertahankan jawatan ini, jika dicabar sekali lagi," kata Nur Azlan.

Menurutnya lagi, Umno bahagian Pulai tidak akan mengadakan mesyuarat khas perwakilan (EGM) jika ia hanya bertujuan semata-mata untuk menjatuhkan atau mencari kesalahan pucuk pimpinan parti.

“Saya kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mengadakan program menggunakan nama Umno bahagian Pulai yang kononnya bertujuan mencari resolusi terhadap apa yang berlaku dalam pilihanraya umum lalu,” katanya.

ADS