Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno cawangan Danga, Mohd Yunos Malek terperanjat dan kesal dengan kenyataan Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang membidas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin kerana turun padang merasmikan program percambahan minda 2008 anjuran cawangan tersebut hujung minggu lalu.

"Seharusnya beliau (Nur Jazlan) perlu berterima kasih atas kesudian ahli Majlis Tertinggi hadir dan berbangga kerana peringkat akar umbi dalam bahagiannya mampu bertindak proaktif bagi mengembalikan semula keyakinan kepada Barisan Nasional (BN).

"Kami (pimpinan dan ahli di akar umbi) mengambil inisiatif mengadakan program ini semata-mata bertujuan untuk mencari rumusan konkrit punca kekalahan BN dan kaedah menenangkan hati rakyat dari akar umbi, melalui satu program yang tertib dan ilmiah iaitu bengkel dan sidang pleno," kata Mohd Yunos yang juga menjadi pengarah program itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Mohd Yunos yang juga pengerusi majlis permuafakatan akar umbi bahagian Pulai itu juga berkata, beliau tidak mempunyai sebarang niat politik atau mengejar populariti dengan menganjurkan program itu.

"Selepas pilihanraya umum yang lalu, dengan kemerosotan undi, kami rasa perlu ada rumusan secara ilmiah dibuat daripada hanya bercakap-cakap di warung kopi," katanya lagi.

nur jazlan mohamed Sebelum ini, Bernama memetik Nur Jazlan (kanan) sebagai kesal dengan tindakan Hamzah merasmikan program tersebut, yang menurutnya, diadakan tanpa restu Umno bahagian berkenaan.

Cawangan hantar wakil

Hamzah juga adalah ahli Majlis Tertinggi Umno. Nur Jazlan mendakwa penganjur majlis itu mempunyai niat tersirat dengan cuba mencari populariti kerana pemilihan Umno peringkat bahagian dan cawangan akan berlangsung bermula Julai depan.

Menurut Bernama, program itu dihadiri oleh 15 orang ketua cawangan dan 100 ahli Umno bahagian Pulai.

Bagaimanpun, menurut Mohd Yunos majlis itu dihadiri oleh kira-kira 140 termasuk 20 ketua cawangan dalam bahagian tersebut.

Katanya, lebih 60 peratus daripada 85 cawangan di Pulai menghantar wakil masing-masing.

Menjelaskan keadaan sebenar, Moh Yunos berkata, pihaknya telah mengutus surat rasmi kepada ketua bahagian untuk memaklumkan mengenai penganjuran program itu tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Pihak urusetia juga memaklumkannya kepada semua pimpinan Umno bahagian, katanya lagi kepada Malaysiakini .

Mohd Yunos turut menghantar satu kenyataan kepada Malaysia sebagai respons terhadap kenyataan Nur Jazlan itu.

Untuk faedah ahli

Beliau menjelaskan bahawa mereka jujur ingin melibatkan semua pihak memberikan input kepada parti di peringkat atasan berhubung kekalahan BN dalam pilihanraya umum lalu.

Mengikut beliau, setiap program dan perancangan aktiviti cawangan-cawangan tidak perlu mendapat kelulusan ketua Umno bahagian.

“Umno cawangan berhak melalui jawatankuasanya berbincang untuk melakukan apa juga aktiviti asalkan aktiviti itu memberi faedah dan kebaikan kepada ahli Umno keseluruhannya,” tambahnya.

Kenyataan itu juga menyebut, kalau pun setiap program mesti diluluskan di peringkat bahagian, perkara itu tidak boleh dilakukan kerana bahagian hanya bermesyarat dua atau tiga kali saja setahun.

Beliau juga mendedahkan bahawa program-program Umno bahagian juga tekag ‘diswastakan’.

Ketika diminta menjelaskan lanjut mengenai perkara itu, ketua Umno cawangan Danga itu menjelaskan bahawa banyak urusetia untuk aktiviti program dilantik secara ad hoc .

hamzah zainuddin Pemilihan Hamzah (kiri) juga, tambahnya, bukan dibuat secara mengejut tetapi melalui perbincangan rasmi.

Rumusan berniat baik

Jemputan itu dibuat berdasarkan pengalamannya, tegas Mohd Yunos lagi.

Mengikut beliau, kalau Nur Jazlan hadir sama di majlis itu, beliau juga akan diberikan peluang untuk berucap dan menyampaikan pandangannya.

“Tentulah, (kerana) dia (Nur Jazlin adalah) ketua bahagian.”

“Tuduhan ketua Umno bahagian Pulai bahawa kami ingin mencari kesalahan pemimpin dan menjatuhkan pemimpin justeru diadakan program itu adalah salah dan meleset sama sekali,” tegasnya.

Mohd Yunos juga berkata, Hamzah sendiri, setelah membaca rumusan akhir peserta, menyatakan ia amat baik dan ikhlas.

“Seterusnya (beliau) akan membawa rumusan itu kepada presiden Umno, timbalan presiden Umno serta kepada ahli Majlis Tertinggi. Tidak ada usul atau desakan tertentu yang dirumuskan supaya pemimpin tertentu meletakkan jawatan atau seumpamanya,” tambahnya.

Menurutnya, antara pemimpin Umno bahagian yang hadir adalah timbalan ketua bahagian Osman Haji Sapian; exco Pemuda Umno Malaysia merangkap ketua pemuda bahagian, Haji Abdullah Yusof dan exco Puteri Umno, Siti Azizah Omar merangkap ketua puteri Umno bahagian tersebut.

ADS