mk-logo
Berita
Pelatih PLKN meninggal dunia
Diterbitkan:  May 8, 2008 8:32 AM
Dikemaskini: 8:32 AM

Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sedang mengikuti latihan di Kem Geo Kosmo, Kuala Kubu Baru, Selangor meninggal dunia malam tadi selepas mengadu sakit perut.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, Too Hui Min, 18, meninggal dunia di Hospital Slim River jam 10.45 malam ketika menjalani rawatan.

Menurut laporan Bernama, Abdul Hadi berkata, pelatih wanita itu mengadu sakit perut pada jam 3 petang semalam semasa menjalani latihan menembak di lapang sasar Jugra Banting, Selangor dan telah diperiksa anggota perubatan di sana.

"Pelatih itu kemudiannya dibawa balik ke kem lebih awal dari pelatih lain untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh pembantu perubatan di kem itu sebelum dihantar ke Hospital Slim River, kira-kira jam 8.45 malam," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata Too yang menetap di Pasir Penambang, Kuala Selangor itu, telah ditempatkan di kem itu pada 18 Mac lalu dan dijangka menamatkan latihan pada 7 Jun depan.

"Pada 19 Mac lalu, Too pernah mengadu sakit perut (sembelit) tetapi selepas menerima rawatan beliau kembali sihat dan menjalani aktiviti seperti biasa," sambil menambah, pemeriksaan rekod mendapati remaja itu tidak mempunyai sejarah penyakit kronik.

Laporan bedahsiasat

Beliau berkata berita kematian pelatih itu telah dimaklumkan kepada keluarganya sejurus itu dan JLKN masih menunggu laporan bedah siasat Hospital Slim River bagi mengetahui punca kematian.

"Saya tak nampak terdapat kesilapan dari mana-mana pihak dalam hal ini, namun pemeriksaan menyeluruh tetap akan dijalankan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan para pelatih," katanya.

Abdul Hadi berkata sebelum menyertai PLKN, semua pelatih telah mengikuti pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan di bawah pengendalian Kementerian Kesihatan bagi memastikan mereka sihat.

Setiap pelatih PLKN juga dilindungi menerusi skim insurans berkelompok sebanyak RM40,000 yang akan diserahkan kepada keluarga.

Sejak PLKN diperkenalkan pada 2004, sebanyak 16 kematian pelatih dicatatkan sehingga 2008, berkaitan sakit jantung, asma dan jangkitan kuman.

PLKN merupakan kursus latihan wajib bagi mereka yang baru menamatkan persekolahan di negara ini yang bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini