BERITA

PM selar pemimpin Umno 'dua wajah'

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Mei 2008, 12:01 tengahari

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkritik sesetengah pemimpin parti itu yang "di dalam bercakap lain dan di luar bercakap lain".

"Bermusyawarah...patuhlah kepada prinsip dan demokrasi parti. Kita berkawan jangan sampai parti kerkecamuk habis.

"Saya letak sepenuh kepercayaan kepada saudara-saudara yang bermula dari sikap kita," katanya ketika berucap di majlis sambutan ulangtahun penubuhan Umno ke 62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak; ketua pergerakan Wanita, Datuk Rafiduah Aziz; ketua Pemuda Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan para pemimpin komponen Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Perdana menteri tidak menyebut siapakah pemimpin yang dimaksudkan "di dalam bercakap lain dan di luar bercakap lain itu".

Abdullah juga mengingatkan ahli Umno supaya tidak bersengketa kerana ia akan membawa kepada kegagalan dan kelemahan.

Menurutnya, kekuatan Umno tidak membahayakan pihak-pihak lain sebaliknya menguntungkan mereka.

Banyak tuduhan

"Tidak perlu bimbang kerana ia tidak membahayakan parti komponen lain kerana kita bermuafakat," katanya.

Dalam ucapannya selama kira-kira 40 minit itu, perdana menteri berkata, banyak tuduhan yang telah dilemparkan kepada Umno "seperti kita sombong, rasuah dan sebagainya".

Tetapi, ujarnya, semuanya didengar dan pemimpin tidak tutup telinga dan semuaa itu dijadikan ingatan.

Sehubungan itu, presiden Umno itu mengingatkan ahli parti supaya tidak terbabit dengan rasuah, salahguna kuasa dan jenayah.

Katanya, apabila ini berlaku, akhbar menyiarkannya yang memalukan Umno sendiri.

BN, kata Abdullah lagi, berpegang kuat kepada konsep kerjasama dan kerana itu menyokong kuat parti-parti lain dalam komponen tersebut.

Sukar jadi ahli

"Sebab itu kita tidak tepuk tangan seronok melihat kawan (komponen) kalah," ujarnya.

Beliau berkata, dalam pilihanraya umum lalu, pengundi telah mengundi pembangkang kerana mereka tidak suka kepada BN.

Anak-anak muda, katanya, tidak bersama BN dan kalau adapun tidak seramai seperti yang dijangkakan.

"Aduan yang kita terima ialah mereka sukar menjadi ahli parti di peringkat cawangan dan juga bahagian.

"Mereka mahu tempat (dalam parti), jangan susahkan mereka dan jangan lambatkan proses mereka hendak jadi ahli.

"Mengapa susahkan mereka? Kita perlu ambil mereka bersama kita," katanya sambil meminta Pemuda dan Puteri Umno menarik mereka menjadi ahli dan bukannya tunggu mereka datang.

Abdullah berkata, BN terus menjadi pilihanraya rakyat kerana ia mempunyai wawasan untuk memajukan rakyat.

Katanya, walaupun Umno telah tiga kali berpecah tetapi ia terus kuat kuat kerana ahli sayangkan parti itu.

"Bila Datuk Onn Jaafar meninggalkan parti, pemimpin, profesional dan pegawai kerajaan ikut sama dan parti (Umno) berpecah.

"Tertubuhnya Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, ramai ahli Umno yang masuk Semangat 46.

"Lepas tu Datuk Seri Anwar Ibrahim dikeluarkan dari parti dan tertubuh PKR," katanya.

Bagaimanapun, katanya, walaupun Umno terserpih tiga kali, namun parti itu masih wujud kerana Umno tetap di hati ahli dan penyokongnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.