Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan didesak mendakwa seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikatakan terlibat dalam skandal membekalkan komponen untuk penghasilan uranium, bahan utama projek senjata nuklear.

Gerakan Mansuh ISA (GMI) berkata kerajaan tidak wajar terus menahan Buhary Seyed Abu Tahir di kem tahanan Kamunting di Taiping jika ia mempunyai bukti warga Sri Lanka itu menjadi orang tengah antara Scomi Precise Engineering, sebuah syarikat milik anak perdana menteri, dengan program nuklear Libya.

"Siasat jaringan BSA Tahir dan dakwanya di perbicaraan terbuka dan adil dengan bukti kukuh penglibatannya dengan senjata nuklear," kata pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau berkata jika kerajaan enggan berbuat demikian, ia akan dilihat cuba menutup misteri penglibatan Tahir melalui penahanannya bawah ISA.

Scomi, yang diterajui oleh Kamaluddin Abdullah, menafikan penglibatan syarikat itu membekalkan "centrifuge" ke Libya dan menegaskan penghasilan kompenan itu untuk projek loji petroleum dan gas untuk kegunaan di Dubai.

Syed Ibrahim mengulas kenyataan menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk terus menahan Tahir sejak Jun 2004.

Memberikan penjelasan isu tersebut di Dewan Rakyat minggu lalu, menteri itu berkata Tahir ditahan kerana beliau dianggap "mengancam keselamatan dan ekonomi negara".

Siasatan juga mendedahkan, katanya lagi, Tahir mempunyai hubungan dengan pakar nuklear Pakistan, Abdul Kader Khan, untuk membangunkan projek senjata berbahaya itu di Iran dan Libya.

Syed Hamid berkata, jika jaringan itu tidak dimusnahkan, Malaysia boleh dikenakan tindakan sekatan ekonomi akibat melanggar perjanjian anti-nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Perlanggaran itu juga boleh merosakkan hubungan dua hala Malaysia dengan beberapa negara lain, katanya.

Sambil menyifatkan penjelasan menteri itu mengelirukan, GMI berkata siasatan polis yang didakwa Syed Hamid itu tidak cukup kuat di sisi perundangan antarabangsa.

"Kebimbangan antarabangsa dalam kes BSA Tahir tidak akan hilang dengan mudah, khususnya apabila siasatan polis sendiri mendedahkan Tahir menjadi orang tengah bagi Scomi Precise Engineering untuk mendapatkan kontrak mengilang komponen centrifuge untuk kegunaan program pengayaan uranium Libya," kata Syed Ibrahim lagi.

Isu ini mendapat perhatian besar dunia selepas polis Malaysia mendedahkan skandal jaringan antarabangsa ini pada Februari 2004 susulan makluman agensi perisikan Amerika Syarikat dan Britain yang mendapat maklumat beberapa bulan sebelumnya.

ADS