Malaysiakini BERITA

Saya dah jumpa Najib, kata Dr M

Muda Mohd Noor  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau telah bertemu dengan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu, selepas beliau mendedahkan bahawa perdana menteri menghalang pertemuan mereka.

Pertemuan tersebut berlangsung di kediaman rasmi timbalan perdana menteri itu, Seri Satria di Putrajaya, selama kira-kira dua jam Ahad lalu.

mahathir and najib happy Rabu lalu, mantan perdana menteri itu mendedahkan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghalang Najib daripada mengadakan pertemuan dengannya selepas pilihanraya umum lalu.

Dia tak halang...selepas saya umum, beliau tidak halang Najib bertemu saya. Dah jumpa dah," katanya kepada wartawan selepas beliau merasmikan pelancaran buku Kismet yang ditulis oleh seorang pegawai polis, Sher Mohamed Allah Baksh di ibu negara hari ini.

Hadir sama ialah bekas ketua polis negara, Tun Haniff Omar; bekas naib canselor Universti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz dan ahli keluarga Sher Mohamed.

Pada 8 Mei lalu Dr Mahathir memberitahu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, bahawa perdana menteri menghalang Najib bertemu beliau untuk membincangkan isu-isu semasa selepas pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, keesokannya, dalam satu sidang media selepas merasmikan persidangan halal di ibu negara, Abdullah menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, Dr Mahathir juga ditanya mengenai kenyataan pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam mengarahkan menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin menarik balik arahan menukar pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury baru-baru ini.

‘Jangan lupa sejarah'

Mengulas tindakan Karpal itu, Dr Mahathir berkata, perkara itu berlaku kerana pemerintahan yang ada lemah.

"Orang tak hormat lagi, orang tidak menghormati pemerintahan lemah. Pemerintah lemah akan menimbulkan masalah," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan setiausaha pergerakan pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa beliau telah ditawarkan wang sehingga cukup untuk tiga generasi, mantan perdana menteri berkata:

"Bukan lagi kerana bangsa dan negara serta lain-lain. Sekarang apapun duit. Bukan nak jadi pemimpin, mahu jawatan. Kalau ada duit boleh melompat."

Sementara ketika berucap di majlis tersebut, Dr Mahathir berkata, orang yang melupakan sejarah akan sentiasa mengulangi kesilapan yang lalu.

Kerana itu, tambahnya, sejarah sangat penting untuk melihat kesilapan lalu agar tidak berulang pada masa depan.

"Saya pernah suruh (Tun) Haniff tulis buku mengenai pengalamannya dalam pasukan polis tetapi beliau enggan. Penulisan seperti ini adalah untuk generasi muda dan sebagai warisan," katanya lagi.