BERITA

Khir Toyo: Ketuanan Rakyat idea k'jaan republik?

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Mei 2008, 6:26 pagi

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo melihat slogan Ketuanan Rakyat merupakan satu usaha meruntuhkan asas-asas Perlembagaan Malaysia yang dipertahankan dalam perjuangan Ketuanan Melayu.

khir toyo 181207 Katanya, ada kumpulan yang memperkenalkan slogan Ketuanan Rakyat untuk memberi tekanan kepada Umno.

"Jika kita katakan Ketuanan Rakyat ini sebagai menjadikan rakyat sebagai tuan, apakah kita nampak ia dilakukan di negeri-negeri yang diperintah oleh kumpulan ini? Sehingga hari ini kita belum nampak rakyat menjadi tuan di negeri-negeri ini," kata bekas menteri besar Selangor itu dalam blognya .

"Apakah yang ingin diruntuhkan melalui slogan ketuanan rakyat? Pada hemat saya ketuanan rakyat ini akan cuba menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik," tulisnya lagi.

Menurutnya, perkara ini boleh berlaku bila mana institusi beraja akan dinafikan atau dicabar haknya dalam isu-isu agama Islam.

"Sekarang ini sudah nampak usaha-usaha meletakkan Islam setaraf dengan agama-agama lain. Kuasa Sultan-sultan juga sedang dicabar oleh mereka yang tidak pun terbabit dalam pentadbiran negeri dan negara.

"Mereka juga mendesak kerajaan agar merombak kuasa perlantikan hakim-hakim oleh Majlis Raja-raja Melayu. Apakah erti segala usaha mencabar segala struktur Perlembagaan ini?" soal Dr Mohd Khir.

"Apakah sudah wujud agenda untuk menjadikan negara ini sebagai republik melalui slogan Ketuanan Rakyat? Bukankah idea-idea ini merupakan usaha mencabar kedudukan Raja-raja sebagai ‘custodian' agama Islam dan orang Melayu?" soalnya lagi.

Menurutnya, dengan runtuhnya sistem beraja ini, maka kedudukan agama Islam akan hanya setaraf dengan agama lain, hak-hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan juga akan turut terkubur.

"Saya tidak tahu sama ada rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu akan membiarkan perkara ini terjadi. Sebenarnya perkara yang sama telah pun berlaku di negara jiran kita Singapura.

"Orang Melayu mesti sedar apakah di sebalik gagasan idea ketuanan rakyat ini," tambahnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.