BERITA

Pasport: Waytha kata Syed Hamid bohong

K Kabilan

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Mei 2008, 3:12 petang

Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy hari ini mendakwa, kerajaan Malaysia berbohong mengenai status pasportnya.

waythamoorthy and malaysia passport Katanya, adalah 'tidak masuk akal dan satu pembohongan' apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar mendakwa bahawa pasportnya tidak dibatalkan.

Malah, Waythamoorthy begitu kecewa apabila Syed Hamid mengenepikan isu dengan menyatakan mungkin berlaku salahfaham mengenai status pasport "yang mungkin telah tamat tempoh".

"Macam mana dia boleh berbohong begitu? Apakah pegawainya tidak memaklum kepadanya tentang apa yang berlaku kepada rakyat Malaysia di luar negara," soal Waythamoorthy.

Beliau berkata, pasportnya hanya tamat tempoh pada 2010.

"Masalah bermula bila saya pulang ke London dari Zurich pada 21 April dan dimaklumkan oleh pegawai imigresen Britain di lapangan terbang Gatwich bahawa kerajaan Malaysia telah membatalkan passport saya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Adakah Syed Hamid menyatakan bahawa plihak berkuasa imigresen Britain yang berbohong?" katanya ketika dihubungi melalui telefon.

Jumaat lalu, Waythamoorthy mendedahkan dalam satu kenyataan bahawa pasportnya telah dibatalkan. Pada hari yang sama Syed Hamid menafikannya.

Syed Hamid berkata "salahfaham" itu berlaku mungkin kerana pasport Waythamoorthy telah tamat tempoh dan boleh diperbaharui di pejabat Pesuruhjaya Malaysla di London.

Paksa pulang

Menjawab kenyataan menteri tersebut, Waythamoorthy berkata Syed Hamid cuba mengelirukan rakyat berhubung perkara itu.

Beliau juga menyuarakan rasa terperanjatnya kerana menteri tersebut mengeluarkan kenyataan berdasarkan kepada kemungkinan tanpa mengesah faktanya.

Waythamoorthy berkata, beliau dibenarkan masuk dan tinggal di United Kingdom selama enam bulan pada 2 April 2008 selepas kepulangannya dari India.

Menurutnya, tidak ada mana-mana negara yang akan membenarkan orang asing masuk ke wilayah mereka sekiranya tempoh tamat passport mereka kurang daripada enam bulan.

Waythamoorthy yang tinggal di UK selepas kerajaan menahan lima pemimpin utama Hindraf di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berkata kerajaan mahu memaksanya pulang ke Malaysia untuk ditahan di bawah ISA.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.