Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gerakan Rakyat Anti Korupsi Malaysia (Gerak) kecewa dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang menutup kes penyelewengan berunsur rasuah dalam isu pembayaran gaji seorang jurulatih gimnastik bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

"Di peringkat Gerak Malaysia, kita begitu kecewa dengan maklum balas daripada pihak BPR yang menyatakan tiada sebarang kes yang boleh disabitkan dengan aktiviti rasuah," kata timbalan pengerusi pertubuhan itu, Mohd Nazree Mohd Yunus.

BPR menghentikan siasatan terhadap dakwaan bekas jurulatih itu Yap Yee Yin, mengenai pegawai MSN yang dikatakan melakukan penyelewengan dengan terus membuat pembayaran elaun kepadanya biarpun kontraknya tamat hujung 2005.

Dalam memorandumnya Ogos lalu kepada menteri belia dan sukan waktu itu Datuk Seri Azalina Othman Said, Yap mendakwa, elaun bulanan RM1,300 terus dimasukkan ke dalam akaun banknya bagi tempoh 14 bulan bermula November 2005 hingga Disember 2006 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM18,200.

gerak malaysia sports council pc 270807 Dakwanya lagi, separuh daripada wang tersebut perlu diberikan kepada seseorang menjadi pengantara dengan MSN bagi membolehkan elaun tersebut dibayar kepadanya.

Pengarah siasatan BPR Datuk Shukri Abdul berkata, selepas merakam percakapan 14 saksi termasuk Yap sendiri dan menjalankan siasatan bermula 12 September tahun lalu, BPR mendapati tiada bukti berlakunya permintaan rasuah oleh pegawai MSN terbabit.

"Kita juga sudah sedaya upaya mengesan mereka yang terbabit walaupun Yap tidak menyatakan nama dan jumlah wang yang diminta.

"Kertas siasatan dakwaan itu turut dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya yang menetapkan tiada kes pendakwaan terhadap mana-mana pihak berkaitan perkara itu," beliau dilaporkan berkata Jumaat lepas.

Yap tidak menyambung kontraknya sebagai jurulatih skuad gimnastik negara yang tamat penghujung 2005 bagi memberi tumpuan membantu perniagaan bapanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Nazree berkata sekumpulan peguam badan bukan kerajaan (NGO) itu sedang meneliti kembali kes ini kerana Gerak percaya "sememangnya wujud unsur-unsur penyelewengan dan rasuah" dalam kes ini.

"Justeru, Gerak Malaysia akan terus komited bersama-sama Yap Yee Yin bagi meneruskan siasatan dan pembuktian kes ini," katanya.

Beliau juga berharap BPR meneliti kembali kes ini bagi memastikan penyelewangan dan rasuah yang berlaku dalam MSN dapat dibanteras dan diberikan penghukuman yang sewajarnya.

"Gerak kesal dengan jawapan yang diberikan BPR setelah lapan bulan menjalankan penyiasatan," katanya.

Yap, bekas ahli gimnastik negara yang bersara selepas Sukan SEA 2003 di Chieng Mai, kemudianya dilantik menjadi jurulatih MSN mulai Oktober 2004 dengan kontrak selama setahun, dengan bayaran elaun RM1,150 sebulan.

Selepas tamat kontrak tersebut pada September 2005, Yap berkata, MSN telah menawarkan kepadanya kontrak baru dengan bayaran RM1,300 sebulan, tetapi beliau menolaknya.

ADS