Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa bahagian Umno Terengganu menyerahkan usaha mendapatkan kembali royalti petroleum negeri itu kepada rundingan antara perdana menteri dan menteri besar Datuk Ahmad Said dalam masa terdekat.

Bahagian Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun berharap wang itu digunakan untuk terus menjana pembangunan ekonomi negeri.

"Kita serah saja pada perdana menteri dan menteri besar untuk selesaikannya. Harap rakyat Terengganu mendapat manfaatnya," kata ketua penerangan Hulu Terengganu, Mohd Zawawi Ismail.

Ketua penerangan Kuala Nerus, A Manaf Abdullah pula berkata, pihaknya tetap berharap kerajaan persekutuan mengembalikan wang itu walaupun keperluan mengurus dan mentadbir negeri setakat ini sudah mencukupi.

"Kita bimbang keperluan di masa-masa akan datang tidak mencukupi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Manakala ketua penerangan Dungun, Matulidi Jusoh berkata wang royalti 5 peratus itu boleh digunakan mengikut kebijaksanaan kerajaan negeri untuk mentadbirnya.

Ketiga-tiga bahagian itu juga tidak mengetahui "kehilangan" jumlah besar wang tersebut, tetapi beliau tidak fikir wujud salah guna kuasa atau penyelewengan dalam pengendalian RM7.3 bilion wang royalti tersebut sejak 2004.

"Kita belum dapat penjelasan terperinci (tentang misteri itu). Kemungkinan adanya masalah teknikal yang perlu diselesaikan. Tidak ada salah guna kuasa," kata Matulidi.

A Manaf pula percaya wang tersebut "tidak hilang".

"Mungkin disalurkan kepada projek-projek (persekutuan) yang tidak melalui kerajaan negeri," tambahnya.

Wang tersebut, kata A Manaf lagi, mungkin disalurkan projek untuk tambakan laut dekat lapangan terbang di Telaga Batin, Lebuhraya Pantai Timur dan Piala Monsun.

Mengulas kempen kutipan 100,000 tandatangan rakyat Terengganu anjuran Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mulai minggu lepas untuk menuntut kembali royalti itu, ketiga-tiga ketua penerangan itu berkata mereka belum memutuskan sama ada hendak menyertai kempen itu atau sebaliknya.

Program tersebut mesti diteliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan, menurut bahagian-bahagian itu.

Mohd Zawawi berkata semua pihak mempunyai cara masing-masing untuk menuntut wang royalti tersebut.

"Serah pada dia, Mampat dengan cara dia. Kita (bahagian Hulu Terengganu) dengan cara kita," katanya lagi.

Mereka mengalu-alukan pertemuan Ahmad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang isu tersebut minggu lalu dan lawatan kerja perdana menteri ke negeri itu bulan depan "amat positif" untuk mendapatkan semula wang royalti tersebut.

ADS