Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Kapar buat laporan BPR
Diterbitkan:  May 27, 2008 5:57 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Pemuda Umno Bahagian Kapar hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta badan itu menyiasat kemungkinan wujud unsur tertentu yang mempengaruhi proses tawaran tender untuk projek penyenggaraan landskap di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Seramai 10 wakil pergerakan itu yang diketuai oleh Setiausahanya, Nor Azizi Ishak membuat laporan berkenaan di pejabat BPR negeri di Shah Alam jam 11 pagi tadi.

Seorang ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Kapar, Mohd Roslee Abdul Rahman berkata mereka membuat laporan itu berikut berlaku perubahan pada tarikh tutup tender berkenaan yang telah dilanjutkan dari semalam (26 Mei) kepada 19 Jun ini tanpa sebarang notis.

Sepatutnya notis mengenai lanjutan tarikh tutup permohonan itu diberitahu lebih awal menerusi akhbar, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau mendakwa ada di antara kontraktor yang menghantar borang permohonan tawaran tender itu terkejut apabila diberitahu oleh pihak MPK bahawa tarikh tutup permohonan tender itu telah dilanjutkan.

Mohd Roslee berkata wujud kemusyikilan mengapa harus dilanjutkan tarikh tutup tender berkenaan kerana ia bukanlah projek besar yang proses menentukan sebutharga yang sesuai memakan masa yang begitu lama.

Beliau berkata diharap jangka masa yang panjang itu tidak akan memberi kelebihan kepada mereka yang menghantar lewat permohonan dalam menentukan sebutharga yang dikehendaki oleh MPK.

Mengenai nilai tender projek itu, beliau berkata ia melibatkan 75 kawasan di dalam pentadbiran MPK dan nilai kontrak landskap bagi satu kawasan di antara RM70,000 sehingga RM80,000 setahun.

ADS