Lagi demo bantah harga minyak

       

dikemaskini Satu lagi demonstrasi kecil membantah kenaikan mendadak minyak diadakan di hadapan sebuah masjid di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya sejurus selepas solat Jumaat hari ini.

Demonstrasi aman itu - sekurang-kurangnya keempat diadakan seluruh negara sejak semalam - yang dianjurkan oleh Angkatan Muda (AMK) PKR bahagian Petaling Jaya Selatan (PJ selatan) disertai lebih kurang 50 orang.

Ia disertai ahli parlimen PJ selatan, Hee Loy Sian, timbalan ketua bahagian tersebut Shariffudin Budin dan wakil AMK bahagian Mahhrul Ismail.

petrol price hike protest kg dato harun 060608 09 Demonstrasi lebih kurang 15 minit bermula 2 petang, sejurus orang ramai selesai menunaikan solat, turut menarik perhatian ahli kariah dan pengguna jalan raya. Kira-kira 60 orang lagi menyaksikan perhimpunan tersebut.

Hee mengajak rakyat menukar kerajaan BN dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

"Adakah kita berpuas hati?" katanya. "Mari tumbangkan kerajaan."

Shariffudin turut menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dan diesel RM1 sejak kelmarin, dengan mengangkat satu keratan akhbar The Star hari ini kepada orang ramai.

"Apakah tanda ini? Kalau tak turun harga petrol, rakyat akan turunkan kerajaan," katanya, sambil mengangkat keratan berita 'Shahrir: Why now and not in August'

"Kita membantah sekeras-kerasnya kenaikan harga minyak."

Datuk Shahrir Samad, menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna, menjadi sasaran kritikan kerana beliau sebelumnya dilaporkan berkata kenaikan dijangka menjelang Ogos.

petrol price hike protest kg dato harun 060608 03 Sepanduk-sepanduk yang dijulang dalam perhimpunan itu, antaranya, 'Pemimpin munafik berkata... tiada kenaikan minyak untuk tahun ini?', 'Kerajaan Pakatan Rakyat akan turunkan harga minyak 24 jam', 'Undilah BN untuk kenaikan harga minyak' dan 'Tahniah! Kepada pengundi BN, inilah hadiah untuk anda'

Ditemui selepas itu, Shariffudin (foto kiri) berkata demontrasi itu bertujuan melihat reaksi awal daripada penduduk di situ.

Wajah penduduk di situ memang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga minyak, tambahnya.

Selain beberapa masjid lagi di seluruh negara, satu demonstrasi kecil dianjurkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada waktu yang sama.

Kira-kira 200 orang berhimpun secara aman selama 15 minit di hadapan masjid jamek bagi membantah kenaikan harga minyak.

Perhimpunan anjuran Ikatan Kebajikan Rakyat (Ikrar) berjalan tanpa sebarang masalah.

Di Sungai Petani, Kedah, perhimpunan untuk tujuan yang sama dilaporkan diadakan selepas solat Jumaat.

Semalam sekurang-kurangnya tiga demonstrasi membantah kenaikan mendadak harga minyak dilaporkan diadakan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Kuching.

Polis hari ini memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang demonstrasi bagi membantah harga bahan bakar itu, lapor Bernama .

Timbalan ketua polis negara Datuk Ismail Omar, dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan maklumat hasil risikan polis, terdapat beberapa pihak sedang merancang mengadakan siri demonstrasi di beberapa lokasi di seluruh negara.

"Tujuan demonstrasi ialah untuk membantah kenaikan harga petrol dan diesel. Di sini saya ingin menegaskan sebarang perhimpunan perlu mendapatkan permit daripada ketua polis daerah," katanya.

Semalam, Gabungan Anti-Inflasi (Protes) merancang menggerakkan ribuan orang untuk menyertai bantahan kenaikan besar harga itu di Menara Berkembar Kuala Lumpur pada jam 3 petang 12 Julai.

Penganjur bercadang mengumpulkan "lebih ramai daripada perhimpunan Bersih" November lalu sewaktu menuntut pilihanraya yang bebas dan adil.

"Ini tidak sama dengan perhimpunan anjuran Bersih. Ia akan lebih besar. Impaknya juga akan lebih besar," kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Malaysiakini
terkini untuk anda