Bas, lori dilarang naik tambang, sewa

       

Kerajaan akan mengambil tindakan ke atas pengusaha bas dan lori yang menaikkan kadar tambang dan sewa mereka, ekoran kenaikan harga petrol dan diesel sejak semalam, kata menteri pembangunan usahawan dan koperasi Datuk Noh Omar.

Beliau berkata, ketika ini kementeriannya belum meluluskan sebarang kenaikan tambang walaupun ada pihak ang memohon dan merayu untuk berbuat demikian.

"Saya memberi amaran supaya jangan menangguk di air keruh. Kami boleh membatalkan permit mereka.

"Mereka masih mendapat subsidi petrol melalui 'fleet card' sebanyak 70 peratus dan membayar hanya RM1.45 untuk seliter," katanya ketika ditemui di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan para pengusaha lori hari ini mula menaikkan kadar sewa sebanyak 35 peratus berikutan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel Rabu lalu.

Setiausaha agung Persatuan Pengusaha Lori Selangor dan Kuala Lumpur, Alvin Choong dilaporkan berkata, selain menaikkan kadar sewa, pihaknya turut memendekkan tempoh kredit sewaan yang dikenakan kepada penyewa daripada 60 hari kepada 30 hari sahaja.

Chong berkata, keputusan tersebut dibuat selepas satu mesyuarat tergempar persatuan itu yang diadakan sejurus selepas kerajaan mengumumkan kenaikan mendadak minyak.

Harga petrol kini RM2.70 seliter selepas kenaikan 78 sen dan diesel pula mengalami kenaikan RM1 kepada RM2.58 seliter.

Perlu kelulusan

Menurut laporan media, Chong berkata, sebelum ini, kos diesel untuk sebuah lori bermuatan 10 tan ialah RM3,000 sebulan, tetapi dengan harga baru diesel, kosnya akan meningkatkan kepada RM5,000 sebulan.

Oleh itu, beliau dilaporkan berkata, pihaknya tidak mempunyai pilihan kecuali menaikkan kadar sewa dan berharap kerajaan akan meneliti semula harga bahan bakar bagi membantu mengurangkan beban yang dihadapi.

Menurut Noh lagi, pengusaha pengangkutan awam tidak boleh menaikkan tambang sesuka hati melainkan dengan kelulusan kerajaan.

"Saya minta mereka bersabar sedikit kerana, kami sedang mengkaji permohonan mereka untuk menaikkan tambang," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta syarikat pengangkutan yang tidak mendapat 'fleet card' supaya memohon dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Noh berkata, kementeriannya akan membawa cadangan kepada Kementerian Kewangan supaya pengusaha pengangkutan awam mendapat subsidi penuh.

Malaysiakini
terkini untuk anda