Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BPR siasat pegawai MB S'gor 4 jam
Diterbitkan:  Jun 11, 2008 11:21 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil pegawai kanan pejabat menteri besar Selangor untuk siasatan dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya.

Pengarahnya BPR Selangor, Ja'afar Mahad berkata pihaknya mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengambil keterangan daripada pegawai kanan terbabit yang tiba di pejabatnya di Shah Alam, pada jam 6 petang semalam.

"Kita sudah ambil keterangan pegawai terbabit hari ini dan hasil siasatan akan diketahui dalam jangka masa terdekat ini," katanya kepada Bernama semalam.

Minggu lepas, sekumpulan empat orang yang mendakwa ahli PKR membuat laporan kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabatan menteri besar tanpa keizinan.

Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang membuktikan pegawai kanan terbabit terlibat dalam meluluskan kontrak dan tender itu kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kerajaan negeri pula berhasrat menjalankan siasatan sendiri kerana bimbang BPR lambat dan boleh mencemarkan imejnya.

Selangor menyeru kepada empat pengadu itu agar hadir di depan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggung- jawaban dan Ketelusan yang diketuai speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chan Kim bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.

Menurut agensi berita itu lagi, BPR Selangor kelmarin mengambil keterangan daripada beberapa pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Alam Flora Sdn Bhd bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

ADS