Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Sumber Manusia tidak menghalang kakitangan awam melakukan kerja sambilan untuk menambahkan pendapatan mereka bagi menghadapi masalah kenaikan harga barangan kini.

Timbalan menteri Datuk Noraini Ahmad berkata kakitangan terbabit wajar mendapatkan keizinan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Mungkin tidak ada masalah jika dibenarkan oleh JPA," katanya.

Tambahnya, pekeliling JPA melarang kakitangan awam kecuali doktor melakukan pekerjaan sampingan kecuali selepas mendapat kebenaran.

Noraini diminta mengulas kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz berhubung kakitangan awam wajar dibenarkan bekerja sambilan seperti disarankan oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

"Dengan kenyataan Tan Sri Amirsham semalam, kami merasakan memang amat-amat mengalu-alukan asalkan kita (kakitangan awam) tahu tanggungjawab mereka ataupun tugas utama mereka.

"Tidak melebihkan kerja sampingan takut mengganggu produktiviti," katanya selepas pelancaran buku panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah-sekolah, di Gombak hari ini.

Sabtu lalu, Cuepacs mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.

Presidennya Omar Osman berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada mereka yang berpendapatan rendah menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.

Amirsham hari ini dilaporkan berkata, kakitangan awam boleh bekerja selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu tidak kira dalam sektor swasta atau awam.

"Mereka boleh bekerja sebagai operator telefon, pengawal keselamatan dan penyambut tetamu, sekurang-kurangnya dalam jangka masa tiga hingga empat jam.

''Apa yang penting pada masa ini adalah masyarakat sendiri perlu merebut peluang tersebut bagi meningkatkan pendapatan untuk jangka masa panjang,'' beliau dipetik sebagai berkata.

Dalam ucapannya sewaktu pelancaran, Noraini berkata buku panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah telah dimulakan sejak 2002 dan diikuti sekolah-sekolah lain.

"Hasil daripada projek ini didapati tahap kesedaran keselamatan dan kesihatan di kalangan guru, pentadbir, kakitangan dan pelajar semakin meningkat," katanya.

"Keselamatan dan kesihatan ini bukanlah satu yang sukar tetapi ia seiring dengan gaya hidup kita seharian."

ADS