Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Tiada s'jaya siasat Dr M-hakim
Diterbitkan:  Jun 11, 2008 9:22 PM
Dikemaskini: 7:45 PM

Kerajaan tidak akan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja dalam dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad mengugut hakim-hakim pada 1997, kata perdana menteri hari ini.

Kerajaan tidak melihat kewajaran untuk menyiasat kenyataan hakim Mahkamah Tinggi Sibu terhadap mantan perdana menteri, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana ia telah memutuskan untuk mewujudkan reformasi dalam badan kehakiman.

mahathir out of ijn 121007 smile "Pada saya, kita telah buat keputusan untuk nak mewujudkan pembaharuan dalam badan kehakiman. Saya tidak nampak apakah kewajarannya untuk mengadakan satu lagi suruhanjaya diraja," katanya di sidang akhbar di pejabatnya, lapor Bernama .

Hakim Datuk Ian HC Chin, semasa mendengar pertikaian berhubung keputusan pada pilihan raya umum Mac lepas di Sarawak, mendedahkan bahawa hakim-hakim dihantar ke pusat indoktrinasi dan diancam dipecat jika tidak membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan semasa pentadbiran Dr Mahathir.

Ketika membuat pendedahan mengejutkan di mahkamah itu, Ian Chin juga mendedahkan bahawa beliau diancam oleh Dr Mahathir berhubung satu kes berprofil tinggi supaya membuat keputusan yang memihak kepada kenalan bekas perdana menteri itu.

"Tak payahlah. Tak habis-habis cerita itu," Abdullah dilaporkan berkata, mengulas kenyataan hakim itu.

Menurut satu lagi laporan agensi berita itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim juga tidak berhasrat mengadakan siasatan atau suruhanjaya berhubung tuduhan terbaru dan mengejutkan itu.

"Saya tidak terkejut (dengan dakwaan terbaru ini) kerana sudah wujud cerita sebegitu di masa lepas.

"Persoalannya sekarang ialah bagaimana kita mahu menangani keadaan itu. Ia merupakan satu lagi maklumat yang mengecewakan dan kita perlu teruskan dari sini.

zaid ibrahim pc 110608 02 "Satu lagi penyiasatan, inkuiri atau suruhanjaya tidak akan mendedahkan lebih daripada apa yang kita sudah ketahui... apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan kejadian serupa tidak berulang di masa depan," Zaid, menteri yang bertanggungjawab dalam reformasi kehakiman, dipetik sebagai berkata di sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Tambahnya, kerajaan lebih berminat menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan mengguna pakai semula Fasal 121 Perlembagaan Persekutuan yang dimansuhkan pada 1988.

Fasal 121 menetapkan kuasa kehakiman terletak pada Mahkamah Tinggi, dan menurut Zaid, ia merupakan prinsip yang amat penting.

"Semua yang berlaku itu merupakan satu lagi sebab kenapa kita patut memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman. Kita perlu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan mengguna pakai semula Fasal 121 Perlembagaan Persekutuan.

"Ini untuk menunjukkan yang kita menghormati pemisahan kuasa -- eksekutif, perundangan dan kehakiman. Kita sebuah negara membangun yang bergantung kepada pelaburan asing. Ini akan menunjukkan bahawa badan kehakiman kita adalah bebas," katanya lagi seperti dilaporkan.

Kabinet yang bermesyuarat setiap hari ini tidak membincangkan dakwaan Ian Chin yang disiarkan di muka depan semua akhbar utama.

ADS