BERITA

Minyak: Ceramah, demo di 30 lokasi

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Jun 2008, 11:57 tengahari

kemaskini 3:47pm Angkatan Muda (AMK) PKR akan mengadakan siri jelajah seluruh negara dalam bentuk ceramah dan demonstrasi kecil bagi membantah kenaikan mendadak harga minyak minggu lalu.

AMK bersama beberapa kumpulan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membentuk gabungan baru Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (Geramm) untuk tujuan tersebut.

Jelajah itu akan berlangsung selama dua minggu, bermula dari 14 Jun di Pahang hingga 29 Jun di Selangor, Johor dan Sabah.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin (foto: tengah, baju merah) berkata kira-kira 30 lokasi telah dikenal pasti untuk program tersebut.

geramm pc petrol price hike group 120608 03 Dalam sidang media pagi ini, beliau juga berkata isu kenaikan harga minyak akan dibincangkan dalam bentuk ilmiah.

"Ada satu usaha yang sedang dilakukan oleh Geramm juga, bagi mengkaji tentang kenaikan harga minyak secara ilmiah dan fakta kerana kita tidak mahu tindakan kita seolah-olah tidak menggambarkan fakta tentang ekonomi dan kewangan negara," katanya, yang mempengerusikan gabungan itu.

"Saya percaya perkara ini akan dilakukan dalam bentuk forum yang akademik dan intelektual."

Dalam siri jelajah tersebut, kata naib ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (foto: dua dari kiri) yang turut hadir sidang media yang sama, menjelaskan pendekatan yang akan diambil oleh Geramm.

"Pendekatan kita, road show yang berbentuk ceramah di seluruh negara, yang kita telah susun dan kita juga akan mengadakan protes-protes kecil di setiap masjid terutama di negeri-negeri dalam radius Lembah Kelang," katanya.

Siri bantahan itu meliputi Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka, tambahnya.

Geramm juga mengadakan kempen 'petisyen rakyat' untuk mendapatkan sejuta tandatangan orang ramai terutama kelompok muda yang begitu terjejas dengan keputusan tiba-tiba kerajaan ini yang dianggap kadar kenaikan petrol dan diesel paling besar serta mengejutkan.

"Petisyen itu juga boleh didapati secara dalam talian di laman web www.geramm.org," kata Shamsul Iskandar.

Beliau juga berkata Geramm akan menyertai kempen dan perhimpunan besar-besaran anjuran Gabungan Anti-Inflasi (Protes) di Kuala Lumpur yang dijadual 5 Julai nanti.

Turut hadir di sidang media Geramm, setiausaha Pemuda PAS Sabki Yusoff (foto: sebelah kiri Shamsul Iskandar) .

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.