Seorang peguam mendakwa hakim Mahkamah Tinggi, Ian Chin, membuat dakwaan bahawa hakim-hakim telah diugut dan diindoktrinasikan, kerana beliau tidak dinaikkan pangkat.

Peguam Matthias Chang - bekas setiausaha politik kepada mantan perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata - Chin "marah" kerana beliau tidak dilantik sebagai Hakim Besar Sarawak dan Sabah.

matthias chang ian chin interview 130608 02 Katanya, Chin tidak faham mengapa Datuk Richard Malanjun yang dilantik ke jawatan tersebut.

Oleh itu, Chin telah menyalahkan mantan perdana menteri, kata Chang dalam satu kenyataan yang diedarkan di sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum mendengar petisyen pilihanraya kawasan Sarikei pada Isnin lalu, Chin memberitahu kedua-dua belah pihak terbabit bahawa Dr Mahathir pernah membuat ugutan sewaktu persidangan hakim-hakim pada 1997 untuk melucutkan jawatan mereka melalui penubuhan sebuah tribunal.

Chin mendakwa, sebulan kemudiannya, beliau serta beberapa hakim dan pegawai kehakiman telah dihantar menghadiri kem indoktrinasi, supaya memberi keutamaan kepada kepentingan kerajaan.

Chang menafikan dakwaan Chin bahawa Dr Mahathir telah mengugut hakim ketika persidangan tersebut (1977), berdasarkan kenyataan dua hakim yang dipetik dalam laporan akhbar New Straits Times Rabu lalu.

Dalam laporan tersebut, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Mohamad Ismail, terperanjat dengan dakwaan Chin itu dan mengatakan beliau tidak ingat Dr Mahathir pernah mengeluarkan sebarang ugutan.

Begitu juga dengan kenyataan seorang hakim yang masih berkhidmat, yang dipetik oleh akhbar yang sama, tetapi tidak mahu namanya disebut, sebagai berkata, Chin mungkin "mengambil kesempatan bercakap di mahkamah kerana beliau ingat Dr Mahathir yang bertangungjawab menyekat kenaikan pangkatnya".

CJ patut jelaskan

Mengulas laporan akhbar tersebut, Chang berkata, kenyataan kedua-dua hakim itu telah menunjukkan bahawa Chin telah membuat "tuduhan liar" terhadap Dr Mahathir.

judge ian hn chin ding kuong hiing wong hua seh and sarikei parliament election judgement 100608 Oleh itu, katanya, satu siasatan harus dijalankan bagi menentukan kebenaran kenyataan Chin terhadap Dr Mahathir.

Chang juga membidas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang dipetik sebagai berkata "tiada sebab untuk meragui" dakwaan Chin itu, walaupun laporan akhbar itu memetik kenyataan Shaik Daud dan seorang lagi hakim.

Beliau juga mencabar Chin untuk berdebat secara terbuka mengenai dakwaannya itu.

"Dan saya mencabarnya mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap saya kerana membuat cabaran tersebut," katanya.

Chang juga membidas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad kerana gagal "menjelaskan semua keraguan" mengenai apa sebenarnya yang berlaku pada persidangan sebelas tahun lalu itu.

"Mereka yang tahu (dan menghadiri persidangan tersebut) harus tampil ke hadapan dan menjelaskan keadaan sebenarnya," tambah beliau.

Katanya, Abdul Hamid juga perlu mengadakan siasatan terhadap dakwaan Chin itu. Berita asal

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS