BERITA Malaysiakini

Kedah tebang balak jika tiada pampasan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Kerajaan negeri Kedah akan mengotakan cadangannya untuk menebang balak di kawasan tadahan air di negeri ini sekiranya kerajaan pusat masih enggan membayar pampasan hasil balak sebanyak RM100 juta setahun kepadanya.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri memerlukan wang tersebut untuk menampung belanja pengurusan dan melaksanakan projek pembangunan, berikutan kenaikan harga minyak 5 Jun lalu.

"Kita dah banyak kali menulis surat kepada kerajaan pusat dan kementerian mengenai pampasan itu tetapi tidak dilayan. Jika balak tidak dipotong kita tidak ada wang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditanya tentang kenyataannya semalam bahawa kerajaan negeri akan menebang balak di kawasan tadahan air, demikian menurut laporan Bernama.

Azizan mengumumkan cadangan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri, dan berkata langkah tersebut sebagai tindak balas terhadap kelewatan kerajaan pusat membayar pampasan hasil balak yang dituntut kerajaan negeri.

Beliau hari ini berkata tidak salah bagi kerajaan negeri untuk menebang balak di kawasan tadahan kerana hasilnya akan digunakan bagi menjana ekonomi negeri.

"Kita dah banyak berkorban dengan tidak mengambil balak di kawasan simpanan dan tadahan supaya dapat membekalkan air kepada Pulau Pinang dan Perlis untuk kegunaan industri, pertanian dan minuman tanpa mendapat bayaran.

Hasil balak RM16b

"Sebab nak jaga kawasan itu kita kehilangan hasil bumi. Kami orang Kedah nak makan apa. Kerajaan pusat hantar duit mai tak apa la.

"Salahkah kerajaan negeri lakukan ini untuk rakyat dia. Kalau balak itu diambil untuk menteri besar atau exconya, itu barulah salah," kata Azizan.

Beliau berkata atas alasan itu kerajaan negeri mempunyai sebab kukuh untuk menebang balak di tanah miliknya.

Ditanya mengenai kesan penebangan balak terhadap alam sekitar di kawasan terbabit, Azizan berkata: "Kita tahu polisi itu tetapi sampai orang yang tinggal di tepi laut nak makan pun tidak cukup, nak buat apa. Itu tidak boleh, ini tidak boleh."

Katanya sebagai balasan kerana mempertahankan alam sekitar kerajaan pusat wajar membuat "pembayaran perkhidmatan alam sekitar" kepada kerajaan negeri setiap tahun.

Beliau berkata dari kajian yang dibuat, hasil balak Kedah bernilai RM16 bilion dan jumlah yang akan ditebang memberikan hasil kira-kira RM100 juta setahun kepada kerajaan negeri.

Katanya beliau tidak akan menunggu isyarat atau kelulusan kerajaan pusat untuk memanggil tender terbuka walaupun Kabinet pada Mei 2003 telah memutuskan melarang semua aktiviti pembalakan di kawasan Empangan Pedu, Empangan Ahning dan beberapa kawasan hutan di daerah Padang Terap dan Sik.