Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembangkang: K'jaan lumpuhkan media
Diterbitkan:  Jun 24, 2008 5:22 PM
Dikemaskini: 7:42 PM

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan tindakan menyekat petugas media membuat liputan di lobi Parlimen - yang pertama dalam sejarah Dewan Rakyat - sebagai tekanan terbaru kerajaan untuk melumpuhkan peranan media dalam melaporkan perbahasan yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

"Parlimen adalah badan perundangan tertinggi negara yang berhubungkait dengan segala aspek hidup rakyat semua lapisan

masyarakat.

"Oleh itu media memainkan peranan penting dalam menyebarkan isu-isu berbangkit yang melibatkan kepentingan umum dalam perbahasan ahli-ahli dewan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

dr wan azizah Wan Azizah berkata, sejak Parlimen mula bersidang selepas pilihanraya mum ke-12, dengan scenario baru di mana Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, kebanyakan media menghantar lebih daripada lima orang wartawan untuk membuat liputan berita yang lebih menyeluruh dan mendalam.

"Media televisyen juga terpaksa membuat rakaman di luar dewan sepanjang hari kerana siaran langsung sidang Parlimen terhad kepada hanya setengah jam pertama bagi sesi soal jawab sahaja," katanya.

Namun, kata Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, mulai semalam, media telah dihadkan kepada tidak lebih daripada lima orang wakil.

Tidak menghormati media

"Hari ini media dikejutkan lagi dengan sekatan untuk membuat liputan berita di lobi Parlimen, yang sebelum ini merupakan kawasan bagi menteri atau ahli Parlimen mengadakan sidang akhbar.

"Adakah sekatan ini bertujuan melindungi menteri daripada pertanyaan media yang sentiasa menginginkan penjelasan atau penerangan daripada menteri?" soalnya.

Wan Azizah berkata, Freedom House baru-baru ini meletakkan Malaysia di tangga ke-141 daripada 195 negara yang dikaji dalam senarai kedudukan kebebasan akhbar.

"Ini bermakna Malaysia tergolong dalam kategori "negara yang tidak bebas" bersama dengan negara-negara di Benua Afrika seperti Cameroon dan Libya.

"Tindakan ini bukan sahaja tidak menghormati media, malah tidak menghormati rakyat yang ingin melihat perubahan selepas Pilihanraya Umum ke-12.

"Percubaan kerajaan untuk menyekat berita daripada sampai kepada rakyat akan menjejaskan kredibiliti kerajaan yang telahpun merosot," tambahnya.

ADS