Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Pemuda MIC Kedah letak jawatan
Diterbitkan:  Jun 27, 2008 6:46 PM
Dikemaskini: 3:40 PM

Ketua Pemuda MIC Kedah, R Nantha Kumar dan tiga pemimpin kanan pergerakan itu meletak jawatan hari ini sebagai membantah tindakan parti itu mengarahkan ketua Pemudanya S A Vigneswaran berundur.

Setiausaha Pemuda Kedah, T M Ganesan, bendaharinya M Selvan dan ketua penerangan S Somasunther turut mengumumkan keputusan berbuat kerana tidak berpuas hati Vigneswaran diarah berundur kerana faktor usia

Vigneswaran sudah menjangkau 41 tahun walaupun tempoh perkhidmatannya hanya berakhir pada 2009.

Bercakap pada satu sidang akhbar di Kulim, Nantha Kumar, 39, juga meminta presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu meletak jawatan akibat kekalahan di kerusi parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Menurut Bernama , pemimpin muda itu berkata, ketewasannya satu petunjuk bahawa sudah sampai masanya Samy Vellu menyerahkan kepimpinan parti kepada pelapis.

"Jika sebelum ini presiden MIC itu marah kerana pembangkang sahaja yang meminta beliau mengundurkan diri tetapi kini, saya dan rakan-rakan saya dari Pemuda MIC Kedah menyeru Datuk Seri Samy Vellu supaya meletak jawatan dengan kadar segera," katanya.

Nantha Kumar berkata beliau sedia menghadapi risiko dikenakan tindakan kelak.

Ramai akan ikut

Katanya, langkah kepimpinan MIC meminta Vigneswaran meletak jawatan sebagai satu penghinaan kepada semua perwakilan yang memberi mandat kepada ketua pemuda MIC itu memimpin pergerakan itu dari 2006 hingga 2009.

"Lebih memalukan lagi adalah kerana pengumuman kemenangan Vigneswaran ketika itu dilakukan Datuk Seri Samy Vellu sendiri selaku presiden MIC di persidangan kebangsaan MIC 2006 lalu," katanya.

Nantha Kumar berkata, beliau menjangka pemimpin muda di peringkat bahagian MIC akan turut mengambil tindakan meletak jawatan selepas ini.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa terhadap badan perhubungan MIC Kedah kerana memberi laporan tidak tepat kepada presiden MIC bahawa sebilangan besar bahagian-bahagian Pemuda MIC Kedah menyokong penuh kepimpinan presiden parti.

Setiausaha agung MIC Datuk S Subramaniam dilaporkan berkata pada 19 Jun lalu bahawa Vigneswaran dan beberapa pemimpin Pemuda parti itu perlu segera meletak jawatan kerana umur masing-masing melebihi 40 tahun.

Vigneswaran bagaimanapun mempertikai takrif umur itu yang dibuat oleh parti.

ADS