Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BNBBC, Nazri diminta berhenti bertelingkah
Diterbitkan:  Jun 28, 2008 2:41 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pertelingkahan dan perang mulut antara Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen Selasa lalu, dihentikan.

Najib yang juga Ketua Whip BN di Parlimen dan Timbalan Pengerusi BN berkata, perbalahan dalam mana-mana kumpulan dalam BN bukanlah merupakan perkembangan yang sihat.

"Saya harap ia tidak berterusan. Kita mesti mencari usaha untuk meredakan dan mendamaikan keadaan ini supaya kita memberi fokus kepada tanggungjawab kita dalam Parlimen iaitu membahas isu-isu yang berkaitan kepentingan rakyat dan membela nasib rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa "Meeting of Minds: Developing the Malaysia Master Brand" di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan arahan supaya perkara itu dihentikan, Bernama memetik Najib sebagai berkata:"Tak apalah, saya akan bisik (kepada mereka yang berkenaan)."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perang mulut itu yang bermula apabila Nazri melabelkan BNBBC sebagai kelab samseng kerana telah bertindak membuka penghadang yang diletakkan di lobi Parlimem bagi membataskan pergerakan wartawan ketika di bangunan Parlimen.

Operasi usir PATI

Ekoran itu BNBBC menganggap perbuatan Nazri keterlaluan dan akan membincangkan bentuk tindakan yang wajar diambil ke atas menteri itu Isnin ini dan Nazri pula mencabar BNBBC mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memecat beliau sebagai menteri.

Isu itu tercetus Selasa lalu apabila wartawan yang bertugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat dihalang membuat liputan di lobi Parlimen dengan alasan tidak mahu melihat kawasan berkenaan bercelaru.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata kerajaan akan berusaha memastikan operasi mengusir pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini tidak bertentangan dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Mana yang masuk (tanpa dokumen yang sah) dalam negara kita, mereka tergolong dalam takrif sebagai pendatang tanpa izin dan kita akan ambil tindakan.

"Walhal banyak yang datang nak cari pekerjaan dalam negara kita masuk cara baik, ikut peraturan. Mereka tu kita terima untuk bekerja dan mencari rezeki di dalam negara ini," katanya.

ADS