Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN 'buruk siku' isu monorel, PORR
Diterbitkan:  Jul 2, 2008 11:14 PM
Dikemaskini: 8:21 PM

Perdana menteri disaran untuk pulang ke Pulau Pinang dan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung keputusan kerajaan menangguhkan projek pembangunan besar di negeri itu seperti monorel dan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).

Ketua menteri Lim Guan Eng berkata dua projek itu sebagai hadiah yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2006, lapor Bernama .

Jika ditarik balik, tambah Lim di Dewan Rakyat, ia menunjukkan sikap "buruk siku" kerajaan BN yang pasti menimbulkan kemarahan rakyat.

Lim, yang juga ahli parlimen Bagan, berkata demikian ketika membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hari ini.

"Di mana keikhlasan, kejujuran dan nama baik perdana menteri kalau negeri sendiri dianaktiri. Saya harap dia hormati keputusan Pulau Pinang sebab saya hormati dia dan saya ketua menteri beliau," katanya yang juga setiausaha agung DAP.

"Kalau boleh, tarik balik keputusan tidak adil itu. Kalau tidak, balik ke Pulau Pinang jelaskan kepada rakyat kenapa hadiah

yang diumumkan itu ditarik balik."

Selain monorel dan PORR, projek lain yang dibatalkan adalah pembesaran Empangan Mengkuang dan menaik taraf sistem keretapi Bukit Bendera.

Menurut agensi berita itu lagi, kenyataan Lim mengundang kemarahan penyokong kerajaan yang bangun meminta laluan mencelah dan meminta penjelasan, tetapi ditolak Lim dengan alasan tidak cukup masa kerana hanya diberikan 20 minit untuk berbahas.

Berdasarkan kajian separuh penggal RMK-9 itu, projek monorel yang bernilai RM2 bilion dan PORR bernilai RM1.5 bilion ditangguhkan setelah kerajaan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

ADS