Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyokong perhimpunan membantah kenaikan harga minyak Ahad ini, tetapi belum pasti menghantar wakil untuk memantaunya.

Pesuruhjayanya Datuk Siva Subramaniam berkata perhimpunan di padang tidak jauh dari kompleks membeli-belah Amcorp Mall, Petaling Jaya adalah "satu aktiviti yang sihat" dan tidak menjejaskan sesiapa, termasuklah pelancong.

Subramaniam berkata demikian selepas menerima memorandum dari penganjur Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes) di pejabatnya tengah hari tadi.

Menurut Subramaniam lagi, memorandum itu mengandungi dua permintaan.

n siva subramaniam "Permintaan pertama adalah supaya kita hantar surat kepada pihak polis menyatakan pendirian Suhakam itu," katanya, merujuk pendirian suruhanjaya itu yang menyokong kebebasan berhimpun seperti termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

"Ini akan kita buat kerana ia merupakan satu perkara yang telah diputuskan oleh suruhanjaya ini.

"Soal menghantar pemerhati ke perhimpunan ini, sebenarnya dulu kita pernah hantar. Lepas itu kita ambil keputusan untuk tidak mengahantar mereka kerana takut keadaan-keadaan yang menyusahkan pegawai kita dan juga tentang faktor risikonya," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau akan merujuk perkara itu kepada pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman, terlebih dahulu.

Sementara itu, setiausaha Muslimat PAS yang juga wakil sekretariat Protes, Aiman Athirah al-Jundi menggesa Suhakam supaya menasihati polis agar tidak menghalang dan menakut-nakutkan peserta untuk ke tempat perhimpunan tersebut Ahad ini.

Mengulas permintaan tersebut, Subramaniam berkata, Suhakam akan berusaha berbuat demikian.

Memorandum itu diserahkan oleh wakil Protes, S Arutchelvan yang juga setiausaha penaja Parti Sosialis Malaysia (PSM) di pejabat Suhakam, Jalan Raja Laut pada jam 12.15 tengah hari ini.

Turut bersama beliau, wakil Suaram, Moon Hui dan wakil Hindraf, S Jayathas.

ADS