mk-logo
Berita
Polis: Jangan sertai himpunan Ahad
Diterbitkan:  Jul 3, 2008 8:42 AM
Dikemaskini: 2:41 PM

Ketua polis Selangor menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga minyak, yang dijadualkan Ahad ini di Petaling Jaya.

Menurut polis, perhimpunan sehari suntuk mulai 10 pagi di padang depan kompleks membeli-belah di depan Amcorp Mall merupakan perhimpunan haram.

Datuk Khalid Abu Bakar berkata, beliau telah menasihatkan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan.

Menurutnya lagi, jika masih ingin meneruskannya, ia boleh dipindahkan ke lokasi lebih sesuai seperti Stadium Shah Alam atau Stadium Malawati, juga di Shah Alam.

"Saya ada bercakap hal ini dengan menteri besar kelmarin, beliau kata akan mempertimbangkannya, namun sehingga hari ini saya belum mendapat sebarang maklum balas," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Khalid berkata, penganjur perhimpunan berkenaan tidak memohon permit polis dan kawasan yang sempit itu tidak sesuai untuk penganjuran apa-apa perhimpunan.

Katanya, ia hanya akan mengundang ketidakselesaan dan kesesakan lalulintas, demikian menurut laporan Bernama .

"Jangan sertai perhimpuanan berkenaan kerana ia tidak ada permit polis dan tindakan boleh dikenakan kepada mereka yang menyertainya," katanya.

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik, mengadakan perhimpunan itu dengan tuntutan menurunkan harga minyak yang kini membebankan rakyat.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini