BERITA

'Syed Hamid sering bohong'

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Jul 2008, 9:28 pagi

Pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), P Uthayakumar enggan berjumpa menteri dalam negeri dengan alasan Datuk Seri Syed Hamid Albar sering berbohong dan mengelirukan masyarakat dengan mendakwa pergerakan massa itu mengancam keselamatan negara.

Adik peguam itu dan pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy berkata Uthayakumar juga enggan bertemu Syed Hamid, dalam lawatannya Sabtu lalu di kem Kamunting di Taiping, kerana menteri itu "menjangkakan tahanan-tahanan merayu nasib mereka, keadaan penjara mereka dan merayu agar dibebaskan awal."

Dalam kenyataannya hari ini, Waytha Moorthy menambah abangnya yakin dengan perjuangan adil Hindraf daripada "penjajahan berkekalan penjarah baru kerajaan Umno yang telah menekan, menindas dan meminggirkan masyarakat India dalam tempoh 51 tahun."

Sabu lepas, Syed Hamid dilaporkan mengadakan perjumpaan selama kira-kira 15 minit dengan tiga daripada lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Lima pemimpin Hindraf yang ditahan di situ ialah R. Kengadharan, 41; M. Manoharan, 46; V. Ganabatirau, 34; P. Uthayakumar, 46, dan K. Vasantha Kumar, 34.

Kengadharan dan Uthayakumar tidak bertemu Syed Hamid.

Menteri itu bertemu mereka sempena lawatannya ke kem tersebut untuk meninjau kemudahan yang disediakan untuk tahanan di situ.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.