BERITA

Malaysiakini muncul laman berita No 1

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Jul 2008, 4:52 pagi

Malaysiakini muncul sebagai laman berita paling popular di negara ini, demikian menurut perkhidmatan pemeringkatan portal internet, Alexa.com.

Pencapaian terbaru ini merupakan kali pertama laman berita bebas yang ditubuhkan sejak 1999 berjaya memintas The Star Online dalam kedudukan tersebut.

Kesemua - kecuali dua dalam senarai 15 teratas - adalah laman web antarabangsa seperti Yahoo (1), Google (2), Friendster (3), YouTube (4) dan Blogger (5). [ Lihat senarai 100 teratas ].

Satu-satunya laman web Malaysia selain Malaysiakini yang berada dalam pemeringkatan senarai 15 teratas ialah portal perbankan dalam talian Maybank2u,com.my di tempat ke-13.

Laman berita lain yang berada dalam senarai 50 teratas termasuklah The Star (16), Utusan Malaysia (18), Berita Harian (30), Malaysia Today (31), Harian Metro (34) dan Harakah Daily (36). Klik imej besar

alexa website ranking malaysiakini against other malaysian news portal 080708

Yang menarik, antaranya, blog Tun Dr Mahathir Mohamad - Chedet.com - yang hanya berusia beberapa bulan berada di tangga ke-60.

Pada masa yang sama, seksyen bahasa Melayu Malaysiakini pula berada di tempat kedua selepas Utusan Malaysia bagi kategori media internet edisi bahasa Melayu, manakala seksyen bahasa Cina juga di tempat kedua selepas Sin Chew Daily .

Kayu pengukur populariti

Pemeringkatan Alexa dibuat melalui analisis penggunaan laman web oleh jutaan pengguna Toolbars Alexa dan maklumat yang diperolehi daripada sumber-sumber data perkhidmatan internet yang lain.

Bagaimanapun, Alexa bukanlah kayu pengukur muktamad dalam menyukar populariti sesebuah laman web dan kaedahnya juga pernah dipertikai oleh beberapa pihak dalam industri tersebut.

Trafik Malaysiakini telah melonjak naik dengan begitu ketara sekali sejak pilihanraya umum 8 Mac lalu.

malaysiakini traffic statistics 080708 bm version Dalam bulan itu sahaja, laman berita tersebut dilayari oleh 2,134,301 pengunjung unik mutlak.

"Walaupun Malaysiakini merupakan laman berita yang dilanggan, tetapi kita masih mencatatkan peningkatan, berbanding dengan laman web percuma.

"Perkembangan ini satu pencapaian yang membanggakan," kata ketua pegawai eksekutif, Premesh Chandran.

Sehubungan itu, katanya, Malaysiakini akan menimbang untuk menambah kandungannya selain daripada berita-berita hal-ehwal semasa.

Ia juga telah melancarkan portal remaja voize.my pada 1 Julai lalu dan beberapa lagi dalam perancangan.

Sementara itu, 10 wartawan Malaysiakini merupakan kumpulan pertama menerima kad media daripada Kementerian Penerangan.

Tidak termasuk penulis blog

malaysiakini official govt press media tag 070708 Kelulusan ini kali pertama diberikan kepada media internet oleh kementerian berkenaan.

"Saya menemui menteri penerangan Datuk Shabery Cheek bulan lalu dan telah berbincang mengenai kad rasmi tersebut.

"Beliau berkata, kementerian akan menimbang permohonan kami (mendapatkan kad tersebut)," kata ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan.

"Kita telah menunggu hampir sembilan tahun untuk mendapatkan kad rasmi tersebut. Kad tersebut pasti memudahkan lagi tugas kami," tambahnya.

Sejak Malaysiakini dilancarkan, wartawannya sering ditegah menghadiri sidang akhbar oleh pemimpin kerajaan dan polis.

Malah, Malaysiakini terpaksa mendapatkan kebenaran khas daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membuat liputan sidang Parlimen sejak beberapa tahun lalu.

Menurut laporan New Straits Times , ketua setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf telah meluluskan 10 laman berita baru untuk kad rasmi tersebut.

Selain Malaysiakini, portal berita lain yang layak menerima kad rasmi tersebut termasuklah Agenda Daily dan Malaysian Insider .

Bagaimanapun, para penulis blog tidak termasuk dalam pengiktirafan kerajaan terhadap wartawan dalam talian.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.