Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyokong langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung dakwaan liwat terhadapnya agar ia disiasat sebagai kesalahan qazaf.

"Langkah Anwar bertepatan dengan peruntukan mahkamah syariah kerana peruntukannya lebih khusus berbanding akta Kanun Keseksaan," kata timbalan presiden PPMM Muhamad Burok ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Menurut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan."

Beliau, yang juga penasihat Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia, menambah bahawa ada peruntukan khusus dalam akta tersebut.

Seksyen 25 akta tersebut menyebut seseorang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak lebih enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Muhamad menjelaskan, Kanun Keseksaan tidak menyebut secara khusus kesalahan liwat, hanya menyebut perhubungan seks luar tabii.

"Kanun Keseksaan mengenai kesalahan-kesalahan hubungan seks luar tabii, (iaitu) Seksyen 377, 377(a), 377(b), 377(c), 377(d) dan 377 (e)," katanya.

"Kesalahan (hubungan seks) luar tabii misalnya adalah (hubungan seks) luar tabii dengan haiwan," katanya.

Penasihat PKR pagi ini mengadukan isu laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan - yang mendakwa diliwat oleh tokoh pembangkang itu - bulan lepas kepada unit siasatan, bahagian penguatkuasaan JAWI.

"Dan saya telah dinasihatkan membawa kes ini mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf. Jadi, (saya) minta bahagian penguatkuasaan buat siasatan segera," kata Anwar selepas aduan.

Seseorang yang disabitkan dengan kesalahan qazaf boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Anwar diiringi oleh isterinya dan juga presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua peguam, Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Lagipun, tambah Muhamad, sistem keadilan jenayah syariah juga mengandungi sumpah syarie yang tidak ada pada mahkamah sivil.

ADS