mk-logo
Berita
Laporan BPR terhadap Tajol Rosli
Diterbitkan:  Jul 10, 2008 9:43 AM
Dikemaskini: 11:37 AM

DAP Perak hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung kenyataan pengerusi BN negeri yang mendakwa Pakatan Rakyat Perak akan tumbang sebelum atau pada 31 Ogos ini.

Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dilaporkan menyatakan demikian dalam satu majlis tertutup di Ipoh Sabtu lalu.

Laporan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Canning, Wong Kah Woh yang juga setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Perak; Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow dan seorang ahli DAP, Ray Ng di Pejabat BPR Perak di Ipoh.

Mereka juga meminta BPR menyiasat kenyataan bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor dalam sidang akhbar selepas majlis tertutup itu bahawa kenyataan bekas menteri besar Perak itu, perlu dipandang serius.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Wong dipetik oleh Bernama sebagai berkata, BPR perlu menyiasat kenyataan itu sama ada ia mempunyai kaitan dengan pendedahan baru-baru ini oleh pengerusi DAP negeri Datuk Ngeh Koo Ham yang mendakwa lapan wakil rakyat DAP telah ditawarkan untuk melompat kepada BN.

Tajol Rosli yang juga Adun Pengkalan Hulu, membuat kenyataan itu ketika berucap pada majlis 'Sepetang bersama Ezam Mohd Nor' di Bangunan Umno Perak di Ipoh, Sabtu lalu.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini