BERITA

Wakil rakyat Pakatan boikot Parlimen

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jul 2008, 2:27 tengahari

kemaskini 3:32pm Usul tergempar hilang keyakinan pada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dibawa oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat ditolak sebentar tadi.

Yang dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang difailkan oleh ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan keputusan yang dipertua dewan, semua anggota parlimen PKR, DAP dan PAS meninggalkan dewan beramai-ramai dan memulau sesi persidangan sepanjang hari hingga petang ini.

Malaysiakini difahamkan sebahagian ahli parlimen PKR hadir di rumah penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang dipanggil polis bagi siasatan dakwaan liwat terhadapnya - di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun mereka dipercayai sedang membincangkan isu-isu yang akan dibawa ke Dewan Rakyat esok.

parliament building police blockade 140708 09 Selain mendapatkan perintah mahkamah menghalang perhimpunan di sekitar lima kilometer dari bangunan Parlimen, polis juga mengadakan sekatan-sekatan jalan raya sejak semalam bagi menghalang sebarang perhimpunan berhampiran bangunan tersebut (foto kanan) .

Perhimpunan itu yang tidak dianjurkan oleh parti-parti pembangkang , dikatakan bagi menghadapi usul tidak percaya terhadap Abdullah.

Anwar semalam berkata Pakatan Rakyat dan partinya tidak terlibat dalam penganjuran sebarang perhimpunan hari ini.

"Saya kesal kerana pihak polis sengaja mengaitkan nama saya dan Pakatan Rakyat dalam satu perintah mahkamah majistret yang diperolehi secara ex parte oleh ketua polis daerah Sentul bertarikh 13 Julai 2008 (semalam)," katanya.

Beliau menganggap perintah mahkamah itu adalah satu "fitnah dan menyalahgunakan proses undang-undang."

Katanya beliau akan mengarahkan peguam Pakatan memulakan proses undang-undang untuk mengetepikan perintah tersebut.

Usul itu diserahkan untuk dibahaskan Khamis lalu.

opposition pakatan rakyat parliament walkout pc 140708 02 Antara lain, usul tersebut menyatakan bahawa pilihanraya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik apabila lima negeri dan Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurut usul lagi, BN mencapai kemenangan tipis dengan memanipulasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan melalui pembohongan.

Harga minyak pula, tambahnya, dinaikkan dengan tiba-tiba selepas pilihanraya walaupun timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - ketika melancarkan manifesto pilihanraya - berjanji ia tidak akan berlaku.

Manakala ahli-ahli parlimen BN, katanya, yang menolak sikap tidak bertanggungjawab pemimpin mereka, telah diancam dan dipaksa berdiam diri.

Perkembangan tersebut, tambahnya, telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap perdana menteri dan anggota kabinetnya.

Rakyat, menurut usul itu lagi, berdepan dengan beberapa krisis seperti kenaikan harga bahan bakar makanan.

Menurutnya lagi, keyakinan rakyat terhadap polis, peguam negara dan badan kehakiman telah merosot, dan jenayah dan rasuah semakin meningkat.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.