Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasat sijil kelahiran Kesultanan Sulu
Diterbitkan:  Jul 14, 2008 2:50 PM
Dikemaskini: 2:47 PM

DAP menggesa polis menjalankan siasatan terperinci terhadap dakwaan wujud sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh Kesultanan Sulu kepada warga Filipina yang lahir di Sabah atau yang memasuki negeri itu secara haram.

Ahli parlimen DAP bagi Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu membuat laporan di polis Karamunsing bersama satu salinan sijil berkenaan.

Satu salinan sijil kelahiran itu (foto bawah) turut diserahkan kepada ketua polis Kota Kinabalu, kata satu kenyataan DAP Sabah hari ini.

sabah sultan of sulu birth certificate 140708 01 Turut hadir bersamanya di balai polis Sabtu lalu, dua pemimpin DAP negeri Edward Mujie dan Steven Jimbangan.

Dr Hiew berkata, walaupun kesahihan salin sijil kelahiran itu masih belum dapat dibuktikan, namun polis tidak boleh meringan-ringankan kerana ia melibatkan kedaulatan dan keselamatan Sabah dan negara ini.

"Pengeluaran sijil kelahiran Kesultanan Sulu tidak harus diizinkan di Sabah kerana Sabah sebahagian Malaysia.

"Kerajaan persekutuan mesti bertindak pantas untuk menghapuskan sebarang anasir yang boleh menggugat kedaulatan negara ini," katanya.

"Mereka yang memiliki sijil kelahiran (dari kesultanan) Sulu harus dihantar pulang bersama pendatang-pendatang tanpa izin yang berada di negara ini."

Selepas dimaklumkan olehnya, tokoh utama DAP dan juga ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang membangkitkan persoalan itu kepada menteri dalam negeri di Dewan Rakyat, Selasa lepas.

Datuk Seri Syed Hamid Albar menjawab beliau tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut dan berjanji akan menjawabnya dalam sesi persidangan minggu ini.

ADS