Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MT didesak tarik balik bubar cawangan
Diterbitkan:  Jul 15, 2008 7:42 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Semua 17 cawangan Umno Bahagian Jelutong yang dibubarkan minggu lalu, hari ini mendesak Majlis Tertinggi (MT) Umno menarik balik pembubaran tersebut dalam tempoh seminggu.

"Sekiranya MT tidak menghiraukan desakan ini, kami yang mempunyai seramai 4,000 anggota akan menentukan arah mana hala tuju politik kami dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah," kata bekas Naib Ketua Umno bahagian itu, Syed Hussin Syed Mohamed.

Beliau yang juga Ketua Umno Cawangan Jalan P.Ramlee berkata mereka yang terlibat kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti itu.

"Kami berasa kecewa...keputusan yang dibuat itu adalah tidak adil tanpa mengambil kira kepentingan anggota parti di akar umbi," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri kesemua 17 ketua cawangan yang terlibat.

Menurut laporan Bernama, Syed Hussin mendakwa ketua penaja bahagian itu, Abdul Razak Abdul Rahman tidak menyampaikan maklumat yang tepat kepada pucuk pimpinan parti mengenai situasi di semua cawangan yang terlibat.

"Sepatutnya pucuk pimpinan parti perlu turun padang untuk melihat sendiri apa yang berlaku bukan dengan hanya mendengar dari pihak tertentu," katanya.

MT yang bermesyuarat minggu lalu memutuskan membubarkan 17 cawangan Umno dalam Bahagian Jelutong berikutan pelbagai masalah termasuk anggota yang tidak wujud walaupun ada dalam senarai.

Usaha pulih bahagian

Tujuh belas cawangan terlibat ialah Jalan P.Ramlee, Jalan Kampar, Taman Hijau, Jelutong Pantai, Jelutong barat, Jalan Sungai, Medan Tunku, Kampung Che Ros, Taman Cemerlang, Taman Nusantara, Batu Lanchang, Pengkalan Haji Kassim, Persisiran Sungai, Taman Indah, Kampung Paya, Persiaran Perak dan Taman Perak.

Sebelum ini Umno bahagian Jelutong mempunyai 42 cawangan dan selepas pembubaran kini mempunyai 25 cawangan.

Sementara itu, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang hari ini menjelaskan pembubaran 17 cawangan Umno Jelutong adalah bagi memulihkan bahagian itu berikutan pelbagai masalah termasuk keanggotaan dan penyelewengan.

Setiausahanya Datuk Azhar Ibrahim berkata sejak dua bulan lepas, pihaknya mendapati pelbagai masalah timbul berhubung keanggotaan di cawangan terbabit.

"Ada cawangan yang hanya mempunyai tiga anggota sahaja. Ada juga seramai 100 hingga 200 anggota Umno yang dialamatkan pada satu alamat sahaja dan ada pula yang beralamat rumah yang telah dirobohkan.

"Untuk kepastian, kita hantar surat kepada semua nama-nama yang didaftarkan itu tetapi semua surat itu dikembalikan kepada kita," katanya dalam sidang akhbar sini yang turut dihadiri Bendahari Badan Perhubungan Umno negeri. Datuk Zainal Abidin Osman.

Dakwaan penyelewengan

Mengenai penyelewengan, beliau berkata perkara itu dikesan berlaku sejak Disember lalu.

"Kita tidak tahu ke mana pergi harta-harta Umno di bahagian itu termasuk barangan dan duit dan kita sedang siasat perkara ini," katanya.

Azhar berkata anggota di 17 cawangan itu boleh menyertai cawangan lain di bahagian itu dan selepas bahagian itu dipulihkan ada kemungkinan cawangan yang ditutup itu dibuka semula.

Ditanya mengenai kenyataan Syed Hussin akan mengambil tindakan mahkamah jika desakan supaya pembubaran itu ditarik balik tidak dihiraukan, beliau berkata: "Terpulang kepada mereka tetapi jika mereka ambil tindakan mahkamah akibatnya ialah mereka akan dipecat daripada parti."

Azhar turut menyangkal dakwaan kononnya beliau dan beberapa orang lagi terlibat mendalangi pembubaran 17 cawangan itu.

"Kenapa pula nak tuduh saya, sedangkan keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi parti," katanya.

Menurut rekod keanggotaan bagi 17 cawangan yang dibubarkan itu ialah seramai 2,999 orang.

ADS