BERITA

Hadi: PAS setia bersama Pakatan

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Jul 2008, 1:32 tengahari

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan terus bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil.

Dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat, katanya.

"Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam parti tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibacakan timbalannya Nasharudin Mat Isa, yang juga ahli parlimen Bachok, dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Turut serta setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaffar, bendahari Dr Hatta Ramli, ahli jawatankuasa pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Kamarudin dan Dr Hatta masing-masing ahli parlimen Tumpat dan Kuala Krai.

Menurut laporan Harakahdaily.net , PAS menyifatkan BN gagal menangani isu-isu rakyat seperti isu kenaikan kos sara hidup yang mendadak dan ketidakstabilan ekonomi serta masalah jenayah yang meruncing.

"Kepada seluruh penyokong PAS saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa bermunajat kepada Allah agar keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia," kata Abdul Hadi, juga ahli parlimen Marang.

Abdul Hadi, yang mengalami masalah kesihatan, tidak hadir. Beliau baru-baru ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara.

Kenyataan ini dipercayai mengulas ura-ura rundingan parti itu dengan Umno dan dakwaan keretakan dalam Pakatan - termasuk ulasannya dalam satu wawancara minggu lepas - seperti dilaporkan media.

Dalam wawancara panjangnya mengulas pelbagai isu semasa yang diterbitkan media rasmi parti itu Jumaat lepas, Abdul Hadi berkata:

"Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri.

"Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau mahkamah sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke mahkamah syariah."

Abdul Hadi mengulas isu laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesannya kepada kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Pada Isnin, Malaysiakini melaporkan dengan memetik satu sumber dalaman pergerakan Pemuda PAS yang menyifatkan pandangan Abdul Hadi sebagai "isyarat" kritikan terhadap Anwar dan dua lagi parti Pakatan "agar tidak menimbulkan masalah kepada PAS."

Abdul Hadi hari ini berkata PAS melahirkan rasa kesalnya terhadap penahanan Anwar semalam yang dibuat oleh unit khas, termasuk anggota polis bertopeng, tidak jauh dari rumahnya di Segambut Dalam.

Parti itu juga mengalu-alukan pembebasan tokoh PKR itu yang telah dibenarkan diikat jamin pagi tadi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.