Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 8:27pm Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau diminta mengisi "borang mangsa rogol" di hospital Kuala Lumpur minggu lepas sewaktu beliau dibawa polis untuk pemeriksaan dalam siasatan dakwaan meliwat pembantunya.

"Kamu tahu apa borang digunakan pihak HKL? (Borang) mangsa rogol. Saya perlu mengisi borang sebagai mangsa rogol disebabkan saya tidak tengok laporan dan saya tidak tahu apa terjadi.

Tambahnya, beliau menurut sahaja arahan doktor dengan andaian ia sebahagian siasatan dan memberi kerjasama penuh kerana bimbang media akan membesar-besarkan isu itu jika beliau enggan mengikut arahan.

"Saya perlu ikut arahan, jika tidak, sesetengah media tempatan kata saya tidak memberikan kerjasama," kata ketua umum PKR.

Beliau mengulangi dakwaannya bahawa beliau ditelanjang sewaktu pemeriksaan doktor dan kemaluannya diukur.

"Saya dibogelkan kerana mereka (pihak polis) kata (prosedur itu) sebahagian daripada siasatan. Kemudian, bahagian sulit saya diperiksa. Itu yang penting.

"(Ia) bukan masalah teknikal yang kecil," katanya di sidang media selepas memberikan keterangan siasatan dakwaan pemalsuan laporan melibatkan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kesnya sedekad lalu di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya tengah hari tadi.

Anwar berkata beliau berpuas hati dengan pihak BPR kerana badan itu bertindak profesional dan mencatat semua keterangannya.

Beliau juga berkata telah memberikan dokumen yang diminta "setakat yang ada" padanya.

Beliau mengulangi kenyataannya bahawa beliau masih belum mendapat laporan polis terhadapnya yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Kalau (mereka) cakap, kamu curi motosikal. Kemudian kamu diminta buktikan di mana kamu berada. Sepatutnya kamu beritahu dulu (oleh polis), di mana motosikal itu, motosikal apa?" katanya.

Anwar juga menafikan "mempolitikkan" isu tersebut seperti dakwaan menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Dalam perkembangan berkaitan, peguamnya Sivarasa Rasiah berkata hospital Kuala Lumpur "telah diperalatkan untuk mempertahankan" isu tersebut.

"Tidak berbangkit persoalan bahawa Anwar telah dibogelkan ketika pemeriksaan kesihatan," katanya.

"Tidak juga berbangkit persoalan bahawa apabila beliau bersetuju (diperlakukan begitu) untuk pemeriksaan, beliau waktu itu bawah jagaan polis dan sentiasa tertakluk pada arah mereka untuk tujuan siasatan."

"Kami tidak mahu bertekak dengan pihak hospital yang tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjalankan tugasnya seperti dikehendaki oleh polis dan akan melaporkannya kepada mereka (polis)," tambah Sivarasa.

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 11 Sehari selepas ditahan Selasa lalu, penasihat PKR berkata beliau telah ditelanjangkan sewaktu menjalani pemeriksaan di hospital.

Menurutnya, seluruh badan beliau diperiksa, termasuk bahagian sulitnya.

Secara berseloroh, beliau berkata, mereka juga "ukur apa yang perlu" dan beliau "ikut semuanya (arahan doktor)".

"Saya buat pemeriksaan seluruh badan saya, kemaluan saya termasuk mengukur apa yang perlu dan saya ikut semua," kata Anwar apabila dibebaskan.

Katanya, beliau juga enggan membenarkan gambar fizikalnya diambil kerana bimbang ia dibocorkan kepada umum, termasuk di internet.

"Sudah tentu saya menolak diambil gambar kerana ia akan ada dalam (laman perkongsian video) YouTube. Kamu fikir saya boleh percaya sistem sedia ada," katanya.

Menurut mantan timbalan perdana menteri itu lagi, beliau juga enggan sampel darahnya diambil untuk ujian DNA sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut.

Anwar berkata beliau enggan membenarkan sampel itu diambil atas nasihat peguam dan doktor.

ADS