Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS K'tan: muzakarah agenda Umno
Diterbitkan:  Jul 22, 2008 4:07 AM
Dikemaskini: 4:43 AM

Dewan Pemuda PAS Kelantan menganggap muzakarah antara parti itu dan Umno hanyalah satu agenda Umno untuk mengheret PAS dalam menangani masalah dalaman Umno.

Ketuanya Mohamad Zaki Ibrahim mempersoalkan kenapa baru sekarang pemimpin Umno sibuk dengan isu muzakarah sedangkan perbincangan seperti itu telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tetapi tidak pernah disambut oleh Umno.

"PAS pernah menghantar surat rasmi kepada Umno untuk mengadakan muzakarah tapi tidak disambut oleh Umno. Kenapa semasa Umno kuat suatu ketika dahulu pemimpin mereka tidak menyambut cadangan muzakarah oleh PAS," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Mohamad Zaki mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang meminta muzakarah dengan Umno agar dihentikan kerana ianya akan memecah-belahkan PAS.

Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan dua lagi pemimpin parti itu dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, dan menurut

Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang, perbincangan itu mendapat restu majlis syura parti itu.

Mohamed Zaki berkata bagi Pemuda PAS Kelantan muzakarah itu adalah satu tindakan licik politik Umno di saat ia sedang "nazak" untuk mengheret PAS agar sama-sama merasai masalah dalaman Umno.

Beliau berharap pemimpin PAS sentiasa bersabar dan mengambil kira pandangan akar umbi sama ada perlu berunding dengan Umno atau tidak.

"Pemimpin juga kena sentiasa ingat sejarah mengenai kelicikan politik Umno ini yang suatu masa dahulu pernah melamar PAS agar bergabung dengan Umno untuk menyelesai masalah perbalahan kaum ketika peristiwa 13 Mei 1969.

"Setelah PAS menyertai Barisan Nasional dan kemudiannya Umno kembali kuat, lalu mereka tendang PAS keluar daripada BN. Cukup hebat dan licik," katanya.

ADS