Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muzakarah: PAS ditawar jawatan MB
Diterbitkan:  Jul 22, 2008 3:11 PM
Dikemaskini: Jul 23, 2008 3:57 AM

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, dalam muzakarah antara pemimpin tertinggi PAS dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau telah mencadangkan agar PAS diberi jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar serta empat exco di Selangor.

"Malahan saya menolak sebarang jawatan bagi mengelakkan dianggap menguasai exco yang bakal dibentuk," kata Dr Mohd Khir yang membawa pemimpin tertinggi PAS itu bertemua Abdullah.

"Saya lakukan ini kerana percaya bahawa gabungan PAS dan BN akan memastikan kepentingan agama Islam dan orang Melayu tidak akan diperkotak-katikkan," tulisnya dalam blog beliau.

"Bagi saya yang penting ialah kepentingan agama Islam dan orang melayu terjaga bukan siapa yang menjadi pemimpin utama," tambahnya.

Malangnya, kata Dr Mohd Khir, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PAS, melalui Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Jaafar, telah menggagalkan usaha tersebut.

Beliau yakin selagi Datuk Seri Anwar memainkan peranan penting dalam Pakatan rakyat, muzakarah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.

"Datuk Seri Anwar memang tidak mahu Melayu bersatu kerana itulah beliau tubuhkan Pakatan Rakyat yang berjuang atas prinsip kesamarataan, menyamakan taraf agama Islam dengan agama lain, menyamaratakan kedudukan orang Melayu dengan bangsa lain, walaupun memiliki status bumiputera," tambahnya.

Sebab itulah, kata Dr Mohd Khir, Anwar dapat menarik sokongan yang besar daripada golongan ekstremis Cina melalui DAP dan ekstremis India melalui Hindraf.

Bagaimanapun, katanya, cadangan untuk mengadakan muzakarah mengenai agenda Islam dan orang Melayu nampak lebih baik sekarang.

"Saya percaya PAS sekarang sudah mulai sedar bahawa mereka kian tersisih dalam membicarakan isu Islam dan orang Melayu di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

"Ini ditambah lagi dengan masalah peribadi Datuk Seri Anwar sekarang. Saya tidak mengimpikan PAS dan Umno bersatu dalam bentuk fizikal parti atau ideologi politik.

"Tapi saya mengimpikan kesatuan orang Melayu dalam erti mempertahankan kedudukan dan agenda Islam dan Melayu di negara ini," tambahnya.

Dr Mohd Khir berkata, impian beliau ialah suatu hari nanti "kita semua dapat melihat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datin Seri Wan Azizah dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, duduk semeja".

ADS